Ramli Sarip: Kita tunggu dan lihat


Papa Rock, Datuk Ramli Sarip

PENYANYI rock lagenda, Datuk Ramli Sarip yang juga dikenali sebagai Papa Rock akan menemui peminatnya di Kuantan, Pahang pada 11 April ini apabila terlibat sebagai artis undangan dalam Konsert Eksklusif Datuk Jamal Abdillah.

Lebih menarik lagi, Ramli bukan saja tampil secara solo, tetapi turut berduet dengan Raja Pop itu.

Sebelum ini, Ramli pernah berduet dengan Jamal menerusi lagu Syair Laila Majnun memberitahu, dia berbesar hati dengan undangan yang diterimanya itu.

“Saya sangat menghargainya. Untuk konsert tersebut, saya diberi tempoh selama setengah jam dan bakal menyanyikan enam buah lagu,” katanya kepada Zass.




Begitu pun, Ramli enggan mengulas lanjut mengenai lagu apa yang bakal dinyanyikannya nanti.

“Kita tunggu dan lihat saja pada hari konsert itu berlangsung. Apa yang membuatkan saya tidak sabar adalah apabila konsert ini diiringi oleh live band.

“Ia membuatkan saya rasa lebih bertenaga dan seronok,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap agar konsert yang bakal berlangsung ini akan berjalan dengan lancar dan mendapat sokongan penuh daripada peminat.

Selain Ramli, konsert yang diadakan secara tertutup di Hotel Zenith ini turut mengundang pelakon dan penyanyi cantik, Elly Mazlein serta penyanyi veteran, Elias Shah.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM80, RM150 dan RM250 serta terhad kepada 2,500 tetamu sahaja.

Dalam perkembangan lain, Ramli juga akan menemui peminatnya di Miri, Sarawak pada 6 April ini menerusi siri jelajahnya ‘Blues Buat Teman’ yang bermula sejak Januari lalu sebelum ke Johor Bahru.
Previous Post Next Post