Scha Al-Yahya Anugerah Terindah


Scha Al-Yahya

BETULLAH kata orang, anak adalah pelengkap hidup buat pasangan suami isteri.

Melihat sahaja raut wajah pelakon cantik, Scha Al-Yahya, jelas terpancar sinar kebahagiaannya yang kini sedang meniti masa menunggu kehadiran orang baharu dalam hidupnya bersama suami tercinta, Awal Ashaari.

Sama seperti pasangan lain, Scha akui berita kehamilan itu adalah anugerah terindah buat hidupnya.

“Alhamdulillah, selepas tiga bulan menjalani pembedahan endometriosis saya disahkan hamil. Memang terkejut tapi pada masa yang sama, saya dan Awal benar-benar bersyukur dengan rezeki ini.

“Sekarang kandungan saya sekarang sudah masuk enam bulan atau 24 minggu. Saya dan Awal sangat teruja menyambut kelahiran cahaya mata pertama kami dan mengharapkan semuanya selamat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pelancaran haruman terbaharu Avon ‘Instinct’ di Restoran Borneo Rain Forest, baru-baru ini.





Berkongsi cerita pada awal kehamilannya, Scha akui tahap kesihatannya agak menurun akibat alahan teruk yang dialaminya.

“Masa awal kandungan, kesihatan saya memang teruk sehingga kehilangan empat kilogram disebabkan alahan. Selera makan pun kurang.

“Paling teruk, saya memang tidak boleh dengar bunyi telefon bimbit sehingga terpaksa meletakkan mood ‘silent’.

“Mula-mula ingatkan saya hadapi tekanan, tapi kawan-kawan cakap ia adalah alahan dan normal untuk sesetengah ibu yang mengandung,” ujarnya.

Tambah Scha lagi, selepas usia kandungan mencecah tiga bulan, kesihatannya mula pulih kerana alahan yang dialami hilang.

“Lepas tiga bulan, saya sudah boleh mulakan aktiviti-aktiviti seperti biasa dan semua kerja yang tertangguh ketika awal-awal hamil juga telah selesai.

“Perubahan yang saya alami sekarang, selera makan nasi bertambah dan berat badan saya sudah bertambah lima kilogram,” katanya yang akui masih belum membuat sebarang persiapan menyambut anak pertamanya.

Enggan mewahkan anak

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Scha memberitahu, biarpun sudah dua kali membuat pemeriksaan doktor, namun sehingga kini jantina bayi dalam kandungannya masih belum dapat dikenal pasti.

“Sebenarnya sudah dua kali saya buat pemeriksaan. Doktor kata kandungan saya berada di kedudukan terlalu bawah, jadi dia tidak dapat pastikan jantina bayi.

“Insya-ALLAH, bulan depan saya akan buat pemeriksaan doktor untuk mengetahui kedudukan bayi kami,” ujarnya.

Bagaimanapun, Scha aku dirinya tidak terlalu memikirkan soal jantina anak, cukuplah ia dapat dilahirkan dengan selamat dan sempurna.

“Terus terang, saya memang tidak kisah soal jantina anak, tapi Awal, saya tahu dia memang mahukan anak lelaki.

“Saya tidak tahu kenapa, tapi mungkin ini adalah anak pertama kami. Sebab sebelum ini saya pernah tanya, dia kata kalau boleh mahu anak lelaki sebab nanti boleh jaga keluarga,” katanya sambit tertawa.

Melihatkan kehidupan pasangan ini yang mewah, ramai yang berpendapat anak yang bakal lahir ini mungkin juga akan dimanjakan.

“Tidak mungkin akan mewahkan anak. Tapi Awal kalau boleh memang mahu sediakan macam-macam untuk sambut bayi ini.

“Tapi cara saya dibesarkan dalam keluarga, bila mahukan sesuatu perlu usaha sendiri, jadi cara itu jugalah saya mahu terapkan untuk anak kami nanti.

“Lagi pun ramai yang sudah berpesan kepada kami jangan terlalu memanjakan anak dari kecil. Saya mahu dia dibesarkan sebagaimana saya dibesarkan,” katanya.

Menangis kerana gembira

Tidak keberatan menceritakan pengalaman romantik sepanjang proses kehamilannya, Scha gembira kerana suami sentiasa menjaganya dengan baik walaupun sibuk dengan kerja seharian.

“Sepanjang kehamilan ini, perkara yang paling ‘sweet’ yang Awal buat adalah memasak untuk saya. Kalau ada masa dia akan baring di perut dan bercakap dengan bayi dalam kandungan.

“Walaupun dia sibuk dengan kerjanya, tapi dia juga tidak abaikan saya,” katanya.

Sepanjang menjalani proses kehamilan, Scha akui pergerakan bayi dalam kandungan adalah momen terindah buat dirinya dan Awal.

“Bila bayi bergerak, saya akan panggil Awal untuk rasa pergerakan itu. Kali pertama memang kami terkejut kerana pergerakan itu sangat kuat.

“Perasaan kami ketika itu memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata dan saya rasa sangat luar biasa.

“Ketika itu tidak ada apa yang boleh kami katakan, cuma menitiskan air mata kerana terlalu gembira,” katanya sambil tersenyum.

Rezeki anak

Biarpun sedang menjalani proses kehamilan, tidak dinafikan rezekinya tidak putus dengan pelbagai tawaran.

“Ini adalah tahun kedua saya dilantik sebagai duta Avon. Alhamdulillah, rezeki anak. Walaupun hamil, saya masih dipilih meneruskan kontrak bersama jenama ini.

“Instinct adalah produk ke tiga di mana saya dipilih sebagai dutanya. Wangian ini berbeza daripada produk wangian lain kerana baunya lebih tahan lama.

“Selain itu, baunya lebih unik kerana dicampurkan dengan beberapa elemen seperti kayu, buah-buahan dan bunga membuatkan ia lebih harum dan sesuai dipakai oleh mereka yang kerap membuat aktiviti luar,” katanya yang tidak meletakkan jangkaan masa untuk kembali aktif dalam aktiviti seni selepas selesai tempoh masa berpantang.
Previous Post Next Post