Sherry Alhadad pengganti Adibah Nor?


Sherry Alhadad

MUNGKIN di awal kemunculannya, Sherry Alhadad, 30 atau dahulunya lebih dikenali dengan nama Sherry Abdullah kurang dikenali ramai dalam industri seni.

Tetapi namanya kian disebut selepas berjaya mencuit hati penonton ketika Anugerah Skrin 2013 (ASK) sebagai pengacara selingan.

Melihat kejayaannya itu, Sherry bersama teman baiknya, Zulin Aziz ditawarkan untuk mengendalikan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur yang berlangsung pada 22 Februari lalu.

Bagi Sherry, biarpun namanya tidak dikenali tetapi dia percaya lambat laun masyarakat akan menerima bakatnya suatu hari nanti.

"Minat mendalam dalam dunia hiburan bermula dari kecil lagi. Biarpun saya bersaiz 'XXL' tetapi saya yakin masyarakat akan mengenali saya.

"Matlamat utama saya terlibat dalam bidang seni bukan kerana populariti sematamata, sebaliknya saya memang sudah lama jatuh cinta dengan kerjaya ini," ujar pemilik nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abdul Al Hadad.

Tanpa tubuh lansing, mahupun rupa paras jelita, akui Sherry dia terpaksa bekerja keras demi mengetengahkan bakat.

Jelasnya, memang sejak awal lagi dia agak struggle dan berdepan pelbagai cabaran hanya kerana minat mendalam menerusi dunia lakonan.

"Saya mula dari bawah, ia pengalaman yang amat indah kerana bukan semua orang dapat merasai sukarnya untuk berjaya seperti hari ini.

"Walaupun diuji, saya tetap bersyukur dengan ujian yang diberi Yang Maha Esa dan kesukaran itu ada hikmah di sebaliknya," katanya yang mencuba nasib sejak tahun 2006 lagi.

Selain lakonan dan pengacaraan, siapa sangka, Sherry juga memiliki bakat terpendam lain. Memiliki pakej yang sama dengan Adibah Nor, Sherry juga tidak kurang hebatnya dalam bidang komedian dan juga DJ radio.

"Ramai yang tidak tahu saya terlebih dahulu berkecimpung sebagai 'stand up komedian'. Malah dalam teater pun, watak saya lebih kepada komedi.

"Sebolehnya, saya nak cuba semua cabang seni," katanya yang mengendalikan segmen khas di Hot FM bersama Zulin.




Dari teater ke layar perak

Berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang seni, Sherry berkata, dia bermula menerusi teater Atap Genting Atap Rumbia (2004) arahan Marlia Musa ketika melanjutkan pengajiannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Selepas menamatkan pengajiannya di Aswara, Sherry memulakan langkah untuk mencuba nasib di kaca TV, sekali gus mengembangkan bakatnya.

"Saya bermula dengan telefilem Sutun 2 (2006), ia merupakan lakonan pertama di hadapan kamera.

"Kebanyakannya saya terlibat dengan dunia teater yang telah menjadi darah daging sejak sekian lama.

"Dari situ, saya terus menerima tawaran lakonan filem dan drama. Dalam masa yang sama, saya juga aktif dalam pementasan teater," Dara Nyonya, Jam Dinding Berdetak dan sebagainya.

Dalam pada itu, anak jati Kuala Lumpur ini mengakui tuahnya dalam karier seni semakin menyerlah sejak menukar namanya kepada 'Shery 'Sherry Alhadad'.

Katanya, pengarah Shuhaimi Lua merupakan orang yang bertanggungjawab untuk dia menukarkan namanya itu selepas tamat pementasan teater Mak Dara Nyonya.

Menurutnya, segalanya berubah selepas itu dan masyarakat lebih terbuka dengan bakatnya jika dibandingkan sebelum ini. "Alhamdulillah... saya bersyukur lebih dikenali berbanding awal kemunculan.

Malah 2014 ini, rezeki mencurah-curah dan tawaran berlakon tidak pernah putus.

"Jika sebelum ini, saya tiada banyak pilihan dan agak kecewa dengan tawaran watak yang sama. Namun semuanya sudah berubah, penonton sekarang lebih kepada bakat, bukan lagi pilih rupa," ujarnya yang bakal terlibat dalam drama bersiri Oh! My English musim ketiga selain pementasan teater Projek Disko Baldi.

ARTISMELETOP: Sherry memang berbakat dan merupakan pengacara yang berbakat besar
Previous Post Next Post