Ustaz Don Saya Tiada Niat Aibkan Ustaz Don


Wardina menegaskan dia hanya inginkan penjelasan terhadap kebenaran ceramah yang dilakukan oleh Ustaz Don

Pengacara dan pelakon Wardina Safiyyah tidak pernah berniat untuk mengaibkan Uztaz Don dengan berkongsi video ceramah agama yang dikatakan mengandungi hadis-hadis palsu disampaikan penceramah selebriti itu.


Wardina berkata, dia hanya mewakili pihak yang musykil bagi mencari kebenaran terhadap beberapa perkara yang disampaikan oleh ustaz itu dalam ceramah umum tersebut.

"Saya bukan ingin menasihati dan tiada niat langsung untuk membuka aib Ustaz Don dengan berkongsi video tersebut tetapi saya ingin mencari kebenaran sahaja.




"Memang ada kata-kata ustaz dalam video tersebut yang membuat ramai orang musykil termasuk saya. Saya rasa ustaz perlu membantu kami orang awam yang tidak faham daripada mana sumber tersebut didapati," katanya kepada mStar Online, menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini, pada Rabu.


Kenyataan Wardina turut mendapat reaksi negatif yang menganggap dia cuba membuka aib Ustaz Don

Wardina berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataannya yang menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal sehingga mendapat banyak reaksi termasuk ada pihak menganggapnya cuba mengaibkan personaliti tersebut secara umum.

Terdahulu pihak TV AlHijrah dalam mStar Online pada Rabu turut mengambil pendekatan untuk meneliti kandungan video ceramah personaliti berkenaan yang tersebar sebelum sebarang tindakan diambil.

Ustaz Don merupakan hos rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9.30 malam.

Tambah Wardina, tindakannya menegur secara umum bukan bertujuan melakukan serangan peribadi, sebaliknya sekadar mahukan mendapatkan kepastian dan jawapan.


Ustaz Don

"Saya minta maaf jika ada yang tidak suka cara saya membuat teguran ini secara terbuka. Saya berbuat demikian kerana ceramah itu juga dilakukan secara umum, saya jujur dengan niat ingin bertanya.

"Kata-kata saya di Facebook itu tidak sedikit pun mengecam, mengutuk atau memperkecilkan Ustaz Don kerana ilmu dia lebih tinggi daripada saya," katanya.

Bagaimanapun, Wardina akan bertemu dengan pendakwah terbabit bagi membincangkan kemusykilan berkenaan selain mahu bertukar pendapat tentang agama.

Dalam status yang dimuat naik pada malam Selasa lalu Wardina turut berkongsi video ceramah Ustaz Don bertajuk Kompilasi Hadis Palsu dan Penyelewengan Ustaz Don.

Dia turut meminta pihak ulama dan mufti mengkaji semula kandungan ceramah yang disampaikan melalui video tersebut.

Ustaz Don ketika ini berada di United Kingdom untuk menjayakan sebuah rakaman berkaitan keislaman.
Previous Post Next Post