Ustaz Hafiz Bila jadi orang popular



BAHANG popular rancangan realiti berbentuk Islamik, Pencetus Ummah (PU) turut terkena tempias pada sang juaranya, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Seperti program PU, Hafiz turut mencipta mencipta fenomenanya tersendiri.

Akui Hafiz, sejak kebelakangan ini, ramai penonton mula memberi perhatian ke atas rancangan agama sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu program TV diminati ramai.

"Kini, rancangan agama pun boleh jadi macam rancangan lain yang popular dan glamor.

"Saya sendiri sudah ada ramai peminat dan orang kenal saya sebagai Hafiz sewaktu berada di tempat-tempat awam akhir-akhir ini," jelasnya yang kini semakin tidak menang tangan apabila menerima banyak undangan berdakwah di serata tanah air.

Oleh kerana terlampau sibuk kini, isteri Hafiz iaitu Nor Kamariah Abdul Manap pernah dalam nada bergurau 'merungut' akan kemenangannya itu.




"Isteri ada bergurau dengan saya, katanya, kenapa saya yang menang... kenapa tak dapat nombor empat saja?.

"Tapi, sebenarnya isteri saya adalah seorang yang sangat memahami.

"Dia cakap macam itu sebab sejak saya menang PU, saya semakin sibuk dengan pelbagai undangan ceramah di merata-rata tempat," katanya.

Tambahnya lagi, walau sesibuk mana pun, Hafiz tetap akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada dua cahaya mata kecilnya iaitu Puteri Humaira, 6, dan Putera Imad, 5.

"Jika dalam dua atau tiga hari saya tidak dapat berjumpa dengan anak-anak, saya akan berhubung dengan mereka melalui teknologi 3G.

"Malah, menerusi telefon 3G juga, selain bertanya khabar dan mengajar mereka membaca hadis, saya juga akan mengajar mereka mengaji," katanya.

Tiada akaun Twitter

Di kala zaman serba canggih ini, hampir setiap manusia mempunyai akaun laman sosial mereka sendiri sama ada ada Instagram, Facebook mahupun Twitter.

Namun begitu, keadaan berbeza berlaku kepada Hafiz apabila ustaz berusia 32 tahun itu mengakui bahawa dia kurang aktif dalam melayari laman sosial, malah tidak pernah mempunyai akaun Twitter.

Bagaimanapun, dek kesedarannya terhadap perkembangan teknologi yang semakin membangun, Hafiz bertekad untuk mempelajarinya bagi memudahkannya menyampaikan dakwah terutamanya kepada golongan remaja.

"Saya kurang aktif dengan laman sosial, Facebook pun saya baharu saja ada dan itu pun sukar untuk membalas mesej yang diterima.

"Twitter pula saya belum buka akaun lagi, Insya-ALLAH, akan dibuka dalam masa terdekat ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai kontroversi yang tercipta sehingga mengaitkan namanya, Hafiz dengan tegas menafikannya dan mengatakan perkara itu hadir menerusi akaun palsu Facebooknya.

“Banyak akaun Facebook dan Twitter yang ditulis atas nama saya adalah palsu.

"Yang merisaukan saya ialah apabila individu yang menyamar sebagai saya di akaun Facebook palsu itu mengadakan sesi soal jawab.

"Saya memang akan mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab dalam mewujudkan akaun itu," katanya.

Jangan terlalu taksub

Dalam pada itu, Hafiz turut menasihati golongan ustaz selebriti atau pakar motivasi agar perlu lebih berhati-hati ketika bercakap menyentuh soal agama Islam.

Jelasnya, mereka perlu mengkaji dahulu sama ada sesuatu perkara atau kisah tauladan berkaitan seseorang Nabi itu benar-benar terdapat dalam al-Quran ataupun tidak.

"Bukan senang untuk bercakap soal agama, bagi golongan pakar motivasi ada segelintir yang pandai bercakap tentang agama perlu kaji dahulu apa yang mereka ingin perkatakan.

"Jika mereka buat kesilapan atau menyebarkan perkara yang tidak sahih, kesannya ramai yang mendengar akan mempercayai dan menyebarkan kepada orang lain pula, itu sudah berdosa," katanya.

Malah, Hafiz turut berpesan kepada orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan dakwah yang disampaikan oleh ustaz selebriti.

Menurutnya, Islam sendiri melarang umatnya terlalu taksub dengan individu tanpa sebab-sebab tertentu.

"Kita perlu ingat semua perkara ada batasannya dan tidak boleh berlebih-lebihan, tidak kira siapa yang kita minati atau ikuti semuanya perlu berpada-pada.

"Jangan sampai apabila kita suka sehingga apa yang tidak betul pun kita terima dan pejamkan mata saja," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz akan menjayakan program Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU) yang akan dikendalikan secara bergilir-gilir di kalangan finalis PU sendiri dengan menjelajah tujuh buah negeri mulai 19 April ini.
Previous Post Next Post