Wardina tegur Ustaz Don Daniyal



WALAUPUN sudah bersara dalam dunia lakonan, namun selebriti cantik, Wardina Safiyyah, sememangnya tidak asing lagi dalam program ceramah agama dan amal kebajikan.

Malah, jika diteliti menerusi laman sosial, Facebooknya, ibu kepada tiga anak ini nyata menggunakan medium berkenaan untuk tujuan dakwah dan menyampaikan ilmu-ilmu agama.

Namun, baru-baru ini, nama Wardina Safiyyah, menjadi isu hangat apabila dia berkongsi tulisan mengenai kompilasi video berjudul, Kompilasi Hadis Palsu dan Pendustaan Don Daniyal, di Facebooknya.

Walaupun ianya hanyalah perkongsian daripada tulisan pemilik Facebook bernama, Nur Puteri Dayana, namun tindakan Wardina mendapat reaksi ramai pengikutnya.

Tidak kurang juga yang menyelar tindakan selebriti ini apabila dia menyeru para ulama, ustaz dan mufti di negara ini supaya menyemak semula kandungan ceramah Ustaz Don Daniyal kerana dikhuatiri menyebarkan maklumat tanpa rujukan.




Malah Wardina juga turut melahirkan kebimbangan sekiranya masyarakat disogok dengan sumber cerita yang tidak dirujuk.

"Saya bukanlah orang alim. Namun saya menyeru kepada para ulama, ustaz, mufti supaya menyemak kembali apa yang diperkatakan oleh Don Daniyal.

"Minta berdiskusi bersama beliau, saya risau jika masyarakat kita disogokkan dengan sumber cerita tanpa rujukan. Saya risau ketaksuban kita pada cerita mistik. Islam sudah cukup dengan Quran dan Sunnah.

"Saya pohon pihak TV, Al Hijrah supaya menyemak balik kandungan, sudah beberapa kali saya terdengar perkara dan penyampaian yang tidak sahih darinya.

"Saya sayangkan Ustaz Don dan mereka yang cintakan agama. Namun agama ini perlu hujah dan dalil, perlu disiplin. Islam bukan agama mistik, ianya berpandukan dalil Quran dan Sunnah," katanya lagi.

Tiada niat aibkan Don

Menjadikan medan sosial sebagai tempat 'berbahas' Wardina turut memberi respons kepada pengikut yang mengkritik tindakannya itu.

"We have a right to ask, We should ask. Yes even to our ustaz and ustazah. Dari mana sumber ini? Siapa yang berkata ini? Apa lanjutan cerita ini? Saya musykil dengan jawapan ustaz. Bolehkah ustaz terangkan lagi?

"Ya, kerana para sahabat juga bertanya kepada Nabi SAW dan Nabi membenarkan.

"Bertanyalah dan para ustaz jawablah persoalan kami ini. Bukalah minda kami. Jangan suruh kami ikut kamu, namun suruh lah kami mengikut Quran dan Sunnah Nabi SAW," katanya lagi.

Namun, tindakan Wardina itu nyata kurang disenangi pengikut laman sosial apabila selebriti dilihat seperti cuba mengaibkan pendakwah popular itu.

Malah, ada yang menyarankan agar Wardina perlu menegur Ustaz Don secara berhemah tanpa menggunakan laman sosial.

Menerima saranan dengan hati yang terbuka, Wardina memberitahu bahawa dia akan bertanya perkara ini secara peribadi.

"Terima kasih semua. Saya akan cuba tanya Ustaz Don secara 'personal'. Dah hantar dah emel. Semoga saya dapat mewakili ribuan lagi orang awam yang keliru. Insya-Allah.

"Alhamdulillah dapat pengikut FB yang berhemah, beradab dan prihatin. Saya juga yakin pengikut FB semua sedaya upaya cuba menjadi Muslim yang baik, mempraktikkan Islam di dalam amalan harian bersama keluarga.

"Saya tidak ada niat mengaibkan, video itu bukan video aib. Video itu adalah ceramah dari ustaz. Mungkin juga orang yang buat video itu khuatir dengan isi penyampaian ustaz. Saya percaya ini semua ada hikmahnya. Wallahualam," jelasnya lagi.
Previous Post Next Post