Selepas Emma Maembong dilaporkan keluar dari syarikat pengurusan Wire Fame Entertainment milik Zizan, terbaru kekasihnya itu dikatakan bakal mengikut jejak sama.
Bertemu dengan pelakon, pengacara dan pelawak popular itu di persembahan Minggu Setiausaha Dato' Siti Nurhaliza semalam, Zizan menjelaskan hal tersebut;
"Buat masa sekarang hal ini masih lagi dalam perbincangan. Ia adalah sebagai langkah permulaan untuk saya bergerak sendiri sebelum mendirikan rumah tangga.
"Selepas berkahwin pastinya akan ada tanggungjawab baru. Kalau bukan sekarang, bila lagi saya nak mula untuk bergerak sendiri," ujar Zizan.
Umum mengetahui, syarikat pengurusan Wire Fame adalah perkongsian bersama pengurusnya iaitu Marina Juki. Ditanyakan sama ada dia dan pengurusnya itu bergaduh sehingga memaksa Zizan mahu mengundur diri, ini katanya;
"Kami tak gaduh. Cuma saya yakin yang saya boleh menguruskan kerjaya sendiri selepas ini.
"Tentang status saya dengan syarikat itu, semuanya masih dalam perbincangan. Sama ada saya ambil syarikat itu atau serahkan kepadanya."