Kehangatan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 semakin terasa dan tentu ketika ini ramai peminat dan pengamal media yang sedang membuat ramalan siapakah yang akan dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Menjelang majlis anugerah yang akan berlangsung Sabtu ini, GUA juga tidak mahu ketinggalan membuat tekaan nama-nama yang mungkin membawa pulang trofi untuk 22 kategori yang dipertandingkan. Agak-agaknya, siapa yang akan dijulang sebagai kategori Artis Duo / Berkumpulan, Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular.
Bagi kategori Artis Duo / Berkumpulan Popular, GUA menjangkakan kumpulan Forteen mungkin berpeluang membawa pulang trofi pada malam tersebut memandangkan mereka mempunyai kelab peminat yang cukup kuat, Forteenagers. Bahkan konsert sulung mereka, 20Forteen, yang diadakan baru-baru ini telah mendapat sambutan hangat sehingga lebih kurang 1000 orang peminat membanjiri KL Live.
Bagaimanapun menurut GUA, kumpulan Forteen terpaksa berdepan dengan Awi Rafael & Altimet sebagai pesaing terdekat mereka. Mana tidaknya, lagu ‘Kalau Aku Kaya’ telah mencipta fenomena dan berada di kedudukan tiga terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-28.
Selain Forteen dan, Awi Rafael & Altimet, antara lain yang turut berjuang dalam kategori yang sama adalah kumpulan Hyperact, Stacy & Akim serta Tasha Manshahar & Syed Shamim. Tidak menafikan kemampuan mereka meraih kejayaan di ABPBH 2013, namun GUA merasakan peluang lebih cerah buat Forteen mahupun Awi Rafael & Altimet.
Berganjak ke kategori seterusnya, GUA meramal pelantun lagu ‘Bahagiamu Deritaku’, Hafiz Suip, layak diangkat sebagai Penyanyi Lelaki Popular. Selepas menjuarai Akademi Fantasia 7, kerjaya Hafiz dalam industri muzik semakin berkembang sehingga dia seringkali memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik dan banyak lagi. Tidak cukup setakat itu, Hafiz telah melebarkan sayapnya dan mula menapak dalam industri muzik di Indonesia.
Namun bersaing dalam kategori itu di samping Awi Rafael, Black Hanifa, Hazama dan Syahir mungkin sedikit mencabar buat Hafiz kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kemantapan vokal dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, GUA juga mengjangka Hazama mungkin mampu menandingi Hafiz kerana dia turut mempunyai kelab peminat yang begitu menyokong kerjaya seninya. Kelab peminat Hazama yang dikenali sebagai Hazama FC dilihat sering bergerak secara berkumpulan di majlis-majlis anugerah dan sedikit sebanyak mampu menggentarkan kelab peminat selebriti lain. GUA percaya mereka juga akan bermati-matian mengundi Hazama bagi kategori ini.
Seterusnya bagi kategori Penyanyi Wanita Popular. Agak sukar diramal kerana semua calon akhir punya pengaruh kuat kepada peminat-peminat. Alyah, Najwa Latif, Shila Amzah, Stacy dan Yuna juga pernah meraih kejayaan yang membanggakan, terutama sekali buat Shila Amzah dan Yuna.
Kedua penyanyi ini kini sudah bertaraf antarabangsa di mana Shila mula dikenali di China sejak menjuarai Asian Wave. Yuna pula kini merupakan artis naungan Verve Records dibawah kelolaan penerbit muzik terkemuka, David Foster.
GUA berpendapat Shila mempunyai kelebihan berbanding Yuna kerana mempunyai kelab peminat, Shilalas yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kejayaan Shila. Malah, pasaran lagu-lagu Shila lebih terarah kepada 'mass market' yang sememangnya ringan jari menghantar borang undian.
Tentang Yuna, bakatnya lebih banyak dihargai oleh penggemar muzik ‘indie’. Berdasarkan pemahaman GUA mengenai budaya ‘indie’, peminat tidak begitu menyanjung populariti sebaliknya mereka akan menghargai apa jua muzik yang berkualiti. Oleh itu sama ada menang atau tidak bagi kategori ini, peminat Yuna akan tetap berada di belakangnya.
Untuk keputusan muktamad, nantikan malam kemuncak ABPBH 2013 pada 24 Mei ini yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9.00 malam.