
Selepas dilanda pelbagai kontroversi, pasangan pelakon Almy Nadia dan Fizz Fairuz akhirnya menarik nafas lega setelah selamat bergelar suami isteri pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun kerana terlalu gemuruh, Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia AminuddinShah menitiskan air mata sepanjang berlangsungnya majlis pernikahan tersebut.
Menurut Almy dia berasa risau sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini semasa majlis pernikahannya.
“Alhamdulillah, kami sangat lega dan gembira akhirnya kami disatukan bersama… sukar untuk saya ekspresikan bagaimana perasaan itu.
“Sepanjang majlis pernikahan berlangsung saya tak henti-henti menangis…Risau dengan segala kemungkinan yang terjadi,” katanya seperti yang dipetik oleh mStar Online.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 35, sah bergelar suami kepada aktres Almy Nadia, 27 dengan sekali lafaz pada Sabtu dengan mas kahwin sebanyak RM1,001 serta wang hantaran berjumlah RM20,000.
Pasangan itu telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun. Sepanjang tempoh percintaan itu mereka pernah putus dan menjalinkan hubungan semula. Dalam pada itu, Almy turut memiliki seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya, berusia lima tahun.