Azwan Kombos tagih penjelasan



TIGA tahun lebih menyulam cinta akhirnya terputus di tengah jalan. Jika keputusan untuk memutuskan hubungan cinta mereka disebabkan masalah besar tidak mengapa, tetapi sehingga kini Azwan Kombos masih menagih penjelasan Nad Zainal yang memutuskan hubungan mereka.

Paling mengejutkan Azwan hanya mengetahui hubungan mereka putus melalui rancangan hiburan hujung minggu dan pastinya berita tersebut cukup memberikan tekanan kepadanya.

Seingat lelaki ini, dia dan Nad tidak menghadapi sebarang masalah sebelum ini. Mereka masih lagi keluar bersama dan melakukan pelbagai aktiviti seperti pasangan lain yang sedang bercinta.






"Saya masih ingat lagi empat hari sebelum itu (Ahad lalu) saya dan Nad ada keluar bersama. Kami pergi membeli belah, karaoke dan macam-macam lagi aktiviti luar yang biasa. Tapi tengahari Ahad lalu orang bertanya betulkah saya dan Nad sudah putus cinta. Saya sendiri tak melihat program tersebut sudah pasti perkara tersebut memberikan kejutan pada saya," tegasnya.

Dia tertanya-tanya mengapa Nad bertindak begitu kepadanya? Apa salahnya dan kenapa Nad menggunakan cara itu untuk memutuskan hubungan dengannya.

Sehingga hari ini Azwan masih belum menerima apa-apa berita daripada Nad atau sebarang penjelasan mengenai status hubungan cinta mereka yang dikatakan sudah berakhir. Setiap panggilan dan khidmat pesanan ringkas yang dihantar tidak berbalas dan Azwan masih belum bersemuka dengannya.

Bagi Azwan apa juga tanggapan masyarakat terhadapnya dia enggan terpengaruh dengan emosi memandangkan dia mahu mendengar sendiri penjelasan mengapa perkara tersebut terjadi.

Jelasnya mereka tidak bergaduh atau bermasam muka sebaliknya hubungan atas dasar cinta itu berjalan dengan baik sahaja.

"Tiga tahun kami bercinta bukan tempoh masa yang pendek. Kalau betul pun ada masalah kenapa tak beritahu saya dan perlu mengeluarkan kenyataan macam tu sekali. Saya masih terkejut, keliru, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Perasaan sayang saya tak pernah berubah dan kenapa dia buat macam tu," luah Azwan lagi.

Buat masa ini lelaki berusia 29 tahun ini bersyukur kerana peminat dan keluarganya memahami keadaannya yang sedang melandanya.

Untungnya keluarganya belum lagi bertanyakan tentang perkara tersebut tetapi mereka lebih mengambil berat tentang kesihatannya kerana bimbang terjadi apa-apa yang buruk kepadanya.

Dalam pada itu, Azwan bertegas mahu mendengar sendiri penjelasan Nad dan dalam masa yang sama mahu hubungan mereka kembali terjalin seperti sedia kala.

Rezeki

TIDAK mahu terus larut dalam emosi, Azwan berharap perkara berkenaan tidak akan menjejaskan kerjayanya yang baru sahaja hendak bermula.

Baginya dia tidak mahu mencampur-adukkan soal kerjaya dan peribadi memandangkan kedua-duanya perlu berjalan seiring seperti yang dilalui insan lain juga.

Meskipun masih baru di dalam industri, Azwan bersyukur kerana diberi watak besar oleh kebanyakan penerbit filem dan drama setakat ini.

Cuma apa yang dikesalkan oleh lelaki ini tatkala mengenangkan kutipan jualan tiket filem Melayu yang boleh dianggap cukup menyedihkan. Dia yang baru sahaja tampil dengan filem Muka Surat Cinta turut terkena tempias apabila filem itu mencatatkan kutipan tidak memberangsangkan.

"Susah kalau nak bercakap tentang kutipan filem har ini. Saya sendiri tak tahu apa lagi yang penonton mahu dan apa yang mereka nak sebenarnya. Dalam hal begini kita kena berpakat untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu. Jika tidak sampai bila pun filem kita kurang sambutan," jelasnya.

Terbaru, Azwan bakal terlibat dalam filem Juvana 3 yang turut menampilkan pelakon-pelakon lama drama bersiri kegemaran ramai itu.
Previous Post Next Post