
KEJAYAAN luar biasa filem Habibie & Ainun di Indonesia sudah mencatat sejarah tersendiri dalam industri perfileman di negara tersebut. Jujurnya filem itu kini bukan sahaja kekal menjadi filem yang mendapat penghasilan tertinggi tetapi juga meninggalkan kesan berbeza buat pelakon utamanya.
Menurut Bunga Citra Lestari atau BCL sehingga kini dia masih teragak untuk menerima sebarang tawaran berlakon, bukan sombong tetapi ada tahap berbeza yang memerlukan dia lebih memilih watak lakonan kini.
Bagaimanapun itu bukan menjadi satu-satunya kesan terhadap Bunga apabila dia kini digelar sebagai artis paling mahal di Indonesia. Tidak menafikan atau mengiyakan, Bunga sehingga kini hanya mahu bersyukur dengan rezeki yang dimiliki.
"Saya tidak tahu sama ada saya paling mahal, jika saya tanya rakan artis lain adakah mereka akan beritahu saya harga mereka untuk dibandingkan.
"Bagaimanapun mungkin, ini kerana filem Habibie & Ainun menjadi filem paling laris di sana. Jadi saya mahu bersyukur sahaja,"katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Koleksi Klasik Lux dengan wangian eksklusif di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Berkata kesan yang dihadapinya sehingga saat ini, Bunga akui belum sampai masa untuknya menghilangkan karakter Ainun daripada hidupnya. Katanya juga tiada lagi watak yang mampu menandingi Ainun.
"Kerana Habibie & Ainun terlalu berjaya, jadi sehingga kini saya masih belum terlihat watak yang mampu menandingi Ainun.
"Sebenarnya waktu ini saya beri lebih tumpuan buat bidang nyanyian, tunggulah mungkin saya akan kembali berlakon bila semua orang sudah tidak memanggil saya Ainun," katanya ketawa.
Menghargai pengorbanan suami tercinta, kata Bunga tiada sebab untuk mereka di luar sana membandingkan kejayaan dia dan Ashraf Sinclair. Mahu mereka di luar sana tahu siapa Ashraf di sampingnya, Bunga akui dia sungguh bertuah untuk menjadi isteri kepada lelaki itu.
"Kejayaan saya adalah kerana pengorbanan dia, tiada sebab untuk saya mengatakan ini hanyalah kejayaan saya seorang.
"Masih saya ingat sewaktu saya mahu menyiapkan filem ini, dia terpaksa mengambil cuti bagi menjaga Noah, jadi ini kejayaan kami berdua. Sesungguhnya saya sangat bertuah, kerana dia adalah seorang suami serta bapa yang baik,"katanya.
Melihat kehidupannya kini, Bunga akui populariti sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya serta keluarga. Jujurnya dia tidak pernah mengeluh memandangkan dia percaya itu harga yang perlu dibayar seorang selebriti. Bagaimanapun bagi mengimbangi perkara tersebut Bunga dan Ashraf ada cara tersendiri.
"Kejayaan yang dikecapi saya serta suami, kami anggap sebagai rezeki. Kami percaya antara satu sama lain. Jika ada laporan berkaitan kami yang tidak betul, ia secara sendiri akan menjadi bahan jenaka sahaja.
"Kami akan pastikan untuk wwwmemperuntukkan masa bersama, kerana kami tahu keluarga merupakan perkara paling penting,"katanya.
Rupanya pasangan ini ada rahsia di sebalik kebahagiaan rumah tangga selama enam tahun. Menurut Bunga, jujurnya dia memang menjalani kehidupan seperti dalam cerita dongeng. Mempunyai keluarga yang bahagia, bagaimanapun bukan satu kelebihan jika seseorang itu tidak pandai menghargainya.
"Semua orang melihat saya seperti hidup dalam cerita dongeng yang indah, sebenarnya saya memang setuju. Saya sangat bahagia dengan kehidupan saya kini.
"Bagaimanapun tiada apa yang mudah, setiap kehidupan itu juga pasti ada naik turun. Mana-mana perkahwinan juga perlukan kerja keras,"katanya jujur.
Sepatutnya dia sudah mengadakan konsert pertamanya di sini pada bulan lalu, namun ada beberapa masalah menyebabkan dia terpaksa menunggu lagi. Bagaimanapun apa yang merunsingkan Bunga apabila dia dikatakan menjadi penyebab konsertnya itu dibatalkan.
"Saya sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang batalkan persetujuan itu, sebab berita ini disampaikan sendiri oleh pihak pengurusan saya.
"Untuk apa saya batalkan sedangkan memang saya sudah tidak sabar mahu beraksi di hadapan peminat saya di sini,"katanya.
Akui agak sedih dengan keadaan itu, Bunga mengaku pengalaman itu membuatkan dia akan lebih berhati-hati kini. Tetap mahu menghiburkan peminat di sini suatu hari nanti, kata Bunga kali ini dia akan pastikan semuanya berjalan dengan baik.
"Saya seorang yang suka kesempurnaan, untuk konsert tempoh hari jadual saya dikosongkan selama seminggu. Malah ada beberapa tawaran yang saya tolak.
"Saya memang mahu membuatkan konsert di sini pada masa hadapan, cuma kali ini akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu berhadapan dengan perkara ini sekali lagi,"katanya jujur.