Datuk Fazley Nasihat Selebriti Siasat Kesahihan Penganugerahan



Baru-baru ini gempar mengenai isu majlis penganugerahan darjah kebesaran dan anugerah gelaran kehormat yang disampaikan oleh Undang Luak Naning, Datuk Abdul Latif Hashim yang dikatakan sebagai tidak sah. Sebanyak 43 orang yang menjadi penerima ketika majlis tersebut termasuklah tiga selebriti iaitu Pian Cecupak, Nash dan Boy Iman.

ARTISMELETOP berpeluang bertemu dengan Juara Master Chef Selebriti Musim Pertama, Datuk Fazley Yaakob di majlis perlantikannya sebagai duta ais krim jenama Kings di Giant USJ, pada Jumaat. Kesempatan ini digunakan ARTISMELETOP untuk mendapatkan pandangannya mengenai situasi yang berlaku.

“Pada saya, apa saja tawaran untuk sesebuah majlis penganugerahan, kita perlu berhati-hati dan memeriksa terlebih dahulu kesahihannya daripada badan berkanun dan juga Kerajaan. Negara kita ada perlembagaan dan undang-undang yang boleh diguna pakai, jadi tiada salahnya kalau kita tidak yakin atau tidak pasti dengan sesuatu hal, kita buat pengesahan semula. Ia menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk lebih berhati-hati apabila menerima sesuatu tawaran pingat mahupun gelaran,” ujar Datuk Fazley kepada ARTISMELETOP.

BACA: Kerajaan Naning beri gelaran 'Datuk' untuk artis Malaysia?






Pelantun lagu ‘Chocolate Cake’ ini menerima gelaran Datuk sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang pada dua tahun lepas. Selain pangkat Datuk, Fazley juga pernah menerima Pingat Ahli Darjah Kinabalu dari Sabah (ADK), Ahli Mahkota Kedah (AMK) dan Darjah Seri Melaka (DSM). Ditanya kepada beliau mengenai pertikaian segelintir pihak apabila golongan selebriti menerima pingat atau gelaran, Datuk Fazley memberitahu perkara ini tidak harus ditimbulkan kerana golongan artis juga turut memberi sumbangan kepada negara.

“Saya berterima kasih dengan penganugeran yang diterima dan saya pasti sumbangan saya terutamanya dalam bidang motivasi membuatkan saya diberi penganugerahan ini. Bagi saya, apabila diberi sesuatu anugerah ataupun gelaran kepada selebriti, ia merupakan satu pengiktirafan buat mereka. Pada saya, setiap artis sumbangan mereka adalah berbeza.

Baik penyanyi, pelakon, pengarah dan sebagainya, mereka semua bertanggungjawab dalam membantu menaikkan taraf industri seni tempatan. Jadi mereka haruslah diberikan penghormatan atas usaha titik peluh mereka. Justeru, jangan mudah memandang remeh apabila artis menerima penganugerahan kerana industri seni juga menjadi pendokong ekonomi serta menjamin penyatuan masyarakat di Malaysia,” tuturnya mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post