Black dan Farid Rosdi.
MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Mohammad Farid Rosdi, 28, atau nama komersialnya Farid Rosdi yang juga sahabat baik kepada Black Hanipah.
Menurut Farid, dia mula melangkah ke bidang muzik setelah mencuba nasib dengan menyertai beberapa pertandingan karaoke sekitar Kuala Lumpur.
Manakala perkenalannya dengan Black sudah lama berlangsung sebelum jejaka hitam manis itu menyertai pertandingan realiti, Mentor.
Biarpun sahabat baiknya itu dikatakan cukup bertuah kerana menerusi program itu, nama Black terus melonjak naik dan dikenali ramai.
Berbeza dengan anak kelahiran Tapah, Perak ini kerana perjalanan seninya itu cukup sukar dan berliku untuk digapai.
Bermula dengan penyertaan Pencarian Bakat Baru Tiru Gaya Artis, I Klon musim kedua kelolaan Datuk Siti Nurhaliza, bagaimanapun dia gagal menempatkan diri sebaris dengan penyanyi popular masa kini.
Mungkin bukan rezekinya kerana dia hanya layak ke peringkat separuh akhir, Farid tidak pernah jemu untuk terus mencuba dan mencari platform untuk dia berkarya.
Anak sulung daripada dua beradik ini, kini bergerak secara solo untuk mengembangkan bakat nyanyiannya ke seluruh negeri.
"Biarpun halangan sering melanda, namun saya tetap positif untuk meneruskan kerjaya dalam bidang yang saya suka.
"Kurang dikenali bukan bermakna saya akan meninggalkan bidang muzik, tetapi siapa tahu suatu hari nanti bakat saya akan diiktiraf," ujar Farid yang kini berguru dengan Black bagi memantapkan lagi kemahirannya.
Teruja tunggu single pertama
Menceritakan perkembangan terkininya, Farid berkata, dia kini sedang sibuk untuk pembikinan single pertamanya, Ku Tahu yang dicipta sepenuhnya oleh Black.
Lagu bergenre pop ballad itu merupakan ciptaan pertama Black bagi artis dibawah label syarikat produksi miliknya, Black Entertainment.
Meluahkan rasa teruja dapat bekerjasama dengan penyanyi bersuara nyaring itu, Farid berharap semuanya berjalan dengan baik sehingga lagu tersebut dilancarkan.
"Ia merupakan usaha sama kami yang pertama setelah berada di bawah label sama. Saya berharap lagu ini mendapat sambutan menggalakkan nanti.
"Saya juga tidak sabar untuk menunggu 'anak sulung' yang kini masih dalam proses susunan muzik," katanya.
Selain lagu tersebut, Farid juga pernah merakamkan suara dengan Alasi Band duet bersama Ayu menerusi lagu Milikku Selamanya yang kini berkumandang di radio Muzik FM dan KL FM.
Farid juga bekerjasama dengan band itu sebagai vokalis untuk album mereka seperti lagu Semangat Ku, Dalam Diam, Dari Anak Mu dan Ariana yang bergenrekan pop rock.
Minat sukan muay thai
Memiliki badan yang sasa, Farid mendedahkan rahsianya adalah mengikut latihan sukan mempertahankan diri iaitu muay thai yang begitu popular dalam kalangan masyarakat kita sekarang.
Bagi Farid, sukan yang memerlukan disiplin tinggi itu benar-benar mencabar minda dan fizikalnya.
Namun demi mendapatkan bentuk badan idaman, dia sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa putus asa.
"Saya tertarik dengan sukan ini kerana pergerakannya yang pantas dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Setiap malam, saya akan menghabiskan masa selama dua jam untuk mengikuti latihan yang dijadualkan," ujarnya menjalani latihan di Persatuan Harimau Emas.
Berkongsi pengalaman, dia berkata diawal latihan badannya menjadi 'lembik' dan tidak bermaya.
Namun, selepas beberapa tahun mengikuti latihan, Farid semakin gian untuk berlatih dan sedia bertarung di gelanggang.