GREY SKY MORNING yang baharu (dari kiri), Ojex, Ully, Pito, Jay, Ejal dan Ery.
SEKITAR enam tahun lalu, muzik Indie pernah mendapat perhatian ramai penggemar muzik terutamanya golongan muda.
Buktinya, puluhan band yang memperjuangkan genre tersebut muncul seiring dengan kekerapan lagu-lagu mereka yang dimainkan di corong radio.
Namun, entah mana silapnya, pengaruh muzik berkenaan dilihat semakin pudar walaupun ada beberapa kumpulan yang masih lagi aktif mengeluarkan lagu serta mengadakan persembahan.
Bagi kumpulan Grey Sky Morning (GSM), walaupun mula bertapak dalam industri muzik tempatan sejak tahun 2008, fenomena yang dirasai oleh band Indie ketika ini tidak semeriah dahulu.
“Pada waktu itu, sokongan yang kami terima cukup menggalakkan. Stesen radio juga kerap memainkan lagu kami.
“Namun, zaman kegemilangan muzik Indie tidak kekal lama. Band-band yang ada pada hari ini pun jarang diketengahkan serta kurang dikenali pendengar,” ujar vokalisnya, Ejal, 32, atau nama sebenarnya, Mohd. Hafizal Mohd. Nasir.
Ikut pasaran
Menurut Ejal, walaupun pada asasnya band Indie yang terdapat di Malaysia berpegang teguh pada genre kesukaan mereka, namun selera pendengar perlu diutamakan, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi pada masa kini.
“Biasanya, band Indie sering membuat lagu berdasarkan apa yang mereka rasa. Namun, mereka tidak sedar bahawa penerimaan sesebuah karya yang mereka hasilkan itu terletak pada para pendengar.
“Jadi, lebih baik kita menulis lagu yang dapat diterima oleh peminat daripada dilabel sebagai syok sendiri,” kata Ejal yang menyifatkan muzik perlu berubah mengikut peredaran zaman.
KUMPULAN yang terdiri daripada enam orang anak muda ini tidak pernah berputus asa untuk memenangi hati pendengar menerusi lagu-lagu ciptaan mereka.
Ketika diminta untuk bercerita mengenai muzik baharu yang ingin diketengahkan oleh GSM, Ejal memberitahu, elemen retro kumpulan itu masih dikekalkan tetapi penambahan beberapa kesan bunyi dapat memberikan nafas baharu terhadap karya ciptaannya.
“Bersesuaian dengan ahli-ahli baharu yang menyertai GSM, kami ingin menampilkan beberapa kelainan kepada para peminat.
“Salah satunya adalah menonjolkan sisi yang lebih matang di samping mengekalkan ciri-ciri asal serta signatur GSM karya lama kami,” ujarnya.
Melalui single terbaharu mereka, Dewi Hatiku, GSM berharap agar ia dapat diterima oleh pendengar, terutamanya para peminat mereka.
“Agak sukar untuk meletakkan lagu baharu ini setaraf dengan lagu lama kami. Namun, dengan beberapa perubahan yang dilakukan, kami yakin lagu ini dapat diterima oleh peminat,” ujar Ejal sambil menyifatkan lagu Cinta Gila merupakan lagu terbaik yang pernah mereka hasilkan.
Syarikat rakaman
Ketika band lain sibuk memasarkan album masing-masing secara sendiri, GSM pula lebih selesa jika kerjaya mereka diuruskan oleh syarikat rakaman.
Tutur Ejal, sejak mengikat kontrak dengan label muzik FMC sekitar empat tahun lalu, sebarang rangka promosi dan urusan persembahan diserahkan kepada syarikat berkenaan.
“Walaupun membawakan muzik jenis Indie, tidak bermakna kita tidak boleh diuruskan oleh mana-mana syarikat rakaman.
“Mereka lebih arif dalam hal pemasaran dan promosi. Jadi, apa salahnya kita gunakan kepakaran yang mereka ada untuk mengetengahkan karya yang kita hasilkan,” ujarnya sambil memberitahu, pihak FMC tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk mereka terus berkarya.