Ji Hyun Woo tidak tunggu lama untuk berlakon.
SEBAIK sahaja tamat menjalani perkhidmatan tentera pada 6 Mei baru-baru ini, Ji Hyun Woo, 30, yang disambut oleh kira-kira 100 peminat dari Korea, China dan Jepun di Wonju, Gangwondo tanpa berlengah terus memberi kata persetujuan untuk berlakon dalam drama Trot Lovers terbitan KBS.
Sewaktu perjumpaan tersebut teman wanitanya, Yoo In Na tidak turut serta kerana sibuk dengan jadual kerja yang memerlukan dia menjalani penggambaran di China.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan tentera, komander dan kadet yang telah menolong saya sepanjang berada dalam perkhidmatan tentera. Kerjasama mereka membuatkan saya dapat melakukan tugasan dengan sempurna.
Lama juga saya tidak bertemu dengan para peminat dan sebab itulah saya cuba untuk bermesra semula dengan anda semua. Untuk permulaan saya ingin menghabiskan masa dengan keluarga dan memberi hadiah kepada peminat dengan menampilkan diri dalam sebuah drama," katanya pada perjumpaan tersebut.
Dalam pada itu, Ji Hyun Woo juga berkata yang dia bakal tampil dengan imej baharu, bukan sebagai sarjan Joo Hyun Tae (nama sebenarnya) tetapi sebagai Jang Jun Hyun, watak yang bakal dilakonkannya dalam drama Trot Lovers
Menurut wakil produksi KBS, karakter Jang Jun Hyun memerlukan aktor itu berlakon dan menyanyi. Watak itu memang sesuai dengan dirinya selepas dua tahun tidak berlakon.
Trot Lovers adalah kisah romantik komedi tentang Choi Choon Hee, seorang wanita berusia 20-an yang berbakat sebagai penyanyi trot dan dia bertemu dengan Jang Jun Hyun, pemuzik ternama untuk membantunya menjadi popular. Kemungkinan penyanyi IU akan berlakon dalam drama ini," katanya.
Dalam pada itu wakil agensi Yoo In Na, YG Entertainment tampil menjelaskan kenapa dia tidak turut serta merai kepulangan Ji Hyun Woo.
Yoo In Na ketika ini sibuk dengan jadual kerja rakaman untuk sebuah dokumentari dan sebab itulah dia tidak dapat hadir. Selain itu dia juga sibuk menjalani penggambaran filem di Korea dan China untuk filem Wedding Bible. Walaupun dia tidak hadir hari ini, itu tidak bermakna yang hubungan mereka putus. Mereka masih lagi berpasangan.