Ken Watanabe gigih cipta nama


Ken Watanabe

SEJAK 2000, nama Ken Watanabe tidak asing lagi di panggung filem Hollywood. Pendek kata, ia menjadi tahun emas buat Watanabe.

Masakan tidak, sejak tahun itu, semua filem lakonannya mencapai piawaian cemerlang dan menerima sambutan positif daripada peminat dan pengkritik filem.

Bermula dengan watak Katsumoto Moritsugu dalam filem The Last Samurai pada 2003, aktor berusia 55 tahun itu tersenarai dalam pencalonan akhir bagi Pelakon Pembantu Terbaik menerusi Academy Awards dan Golden Globe Awards.






Dua tahun kemudian, aktor berbakat besar ini tampil cemerlang menerusi filem Memoirs Of A Geisha dan Batman Begins.

Kerjayanya dalam dunia perfileman Hollywood diteruskan apabila membintangi filem Letters From Iwo Jima (2006), Shanghai (2010), Inception (2010) dan Unforgiven (2013).

Pemilik nama penuh Kensaku Watanabe ini memulakan kariernya dalam dunia lakonan sejak awal 1980-an lagi.

Pada peringkat awal pembabitannya, dia banyak membintangi teater dan drama bersiri di Jepun. Antaranya adalah Minchinaru Hanran (1982), Mibu No Koiuta (1984), Dokuganryu Masamune (1987), Gokenin Zankuro (1995), Oda Nobunaga dan Chushingura.

Selepas tampil dalam filem pertamanya di Jepun, Mac Arthur's Children pada 1984, peluangnya dalam dunia perfileman Jepun semakin meluas apatah lagi apabila dia mempunyai kemahiran dalam bermain pedang (samurai).

Antara filem terbaiknya di Jepun adalah 9 Deaths of the Ninja (1985), The Vessel of Sand (2004), Ashita No Kioku (2007), Cirque du Freak: The Vampire's Assistant (2009), The Unbroken (2009), Shizumano Taiyo (2010), versi Jepun Inception (2010). Hayabusa: Harukanaru
Kikan (2012) dan Yurusarezaru Mono (2013).

Meski pun sudah membina tapak kukuh sama ada di tanah airnya sendiri atau Hollywood, aktor ini bagaimanapun masih lagi kekal dengan sifat rendah dirinya.

"Saya bukanlah bintang ternama di Jepun. Saya hanyalah aktor.

"Saya mempunyai kehidupan yang biasa. Empat hari dalam seminggu, saya akan memasak jika ada masa terluang.

"Jika bintang ternama, ia tak buat benda-benda itu semua," kata Aktor Terbaik Japanese Awards ini.

Kembali ke pentas teater

Sebelum beraksi di layar perak, karier Watanabe dapat dilihat menerusi penyertaannya di pementasan teater.

Malah, aktor Jepun ini sudah lebih 12 tahun tidak bermain teater lantaran sibuk dengan pelbagai projek drama dan filemnya.

Justeru, bagi mengubati kerinduan peminatnya, pada Mac tahun lalu, dia kembali beraksi di pentas teater.

Melalui teater berjudul A Dialogue With Horowitz di Parco Theater, Shibuya, Tokyo, arahan Koki Mitani, Watanabe membawakan watak seorang pemain piano yang disegani.

"Ini adalah teater pertama selepas 12 tahun tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti melibatkan teater.

"Ketika orang-orang sudah mula melupakan, saya kembali semula.

"Bagi saya, kembali ke panggung teater adalah pengalaman yang memerlukan lakonan mantap sebagai seorang pelakon," katanya.

Pertaruh Godzilla

Dalam perkembangan terkini, Watanabe bakal tampil dalam filem Hollywood kelapannya berjudul Godzilla arahan Gareth Edwards ini.

Filem yang bakal menjengah pawagam pada 15 Mei ini menggandingkan Watanabe di samping Aaron Taylor-Johnson, Bryan Cranston, Elizabeth Olsen, Juliette Binoche, David Strathairn dan Richard T. Jones.

Mengambil naskhah dari Max Borenstein, Frank Darabont dan Dave Callaham, penggambaran filem ini difahamkan berlangsung di Vanouver, Canada.

Menceritakan penglibatannya dalam filem ini, Watanabe memberitahu dia menganggap filem Godzilla adalah sebahagian daripada kenangan semasa zaman kecilnya apatah lagi apabila filem itu telah muncul sejak 1954 lagi.

"Saya sangat senang berlakon dalam filem ini," katanya.
Previous Post Next Post