Aiman Azlan
LAMAN YouTube sememangnya menjadi medium untuk menyerlahkan bakat di samping berkongsi idea dengan masyarakat seantero dunia tanpa ada sempadan.
Medium tersebut tidak terhad kepada penyanyi sahaja, malah ramai vlogger (video blogger) menggunakan YouTube untuk menyalurkan idea menerusi kreativiti masing-masing dan berjaya menarik ramai penonton bukan sekadar untuk berhibur, tetapi memperoleh ilmu dalam masa sama.
Justeru, untuk ruangan Bintang Dari YouTube kali ini, Zass membawakan satu nama yang menjadi ikon kerana video yang dimuat naik olehnya sarat dengan nilai-nilai positif dan unsur dakwah yang disampaikan dengan cara penuh santai, iaitu Aiman Azlan.
Pemilik nama penuh Muhammad Aiman Azlan ini pernah meraih lebih 70,000 hingga 100,000 tontonan menerusi video-videonya di akaun YouTube, www.youtube.com/aimanazlan90.
Jejaka berusia 24 tahun ini mendapat idea merakamkan video melalui pemerhatian, pembacaan, pengalaman, orang sekeliling dan soalan-soalan yang diajukan kepadanya.
Kebiasaannya, Aiman memperuntukkan lebih kurang satu hari untuk merakam dan melakukan suntingan video-videonya yang lazimnya dilakukan sendiri. Topik pendidikan, Ramadan dan cinta merupakan antara subjek yang paling mendapat sambutan dalam video yang dimuatnaik olehnya.
Penyampaiannya yang bersahaja dan lucu ternyata berkesan dan berjaya menarik ramai orang untuk menonton video anak muda yang berasal dari Kelantan ini.
Dilabel ‘pendakwah’
Ketika diajukan soalan mengapa subjek berunsur dakwah menjadi pilihannya, Aiman menyatakan genre tersebut tersebut bukanlah pilihannya kerana tujuan asal hanya sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya tidak memilih genre dakwah, tapi genre dakwah yang pilih saya. Pada asalnya, saya cuma ingin mencuba perkara baharu iaitu rakam video dan muat naik ke YouTube.
“Selepas itu, terdetik dalam hati saya untuk gunakan YouTube sebagai medium menyampaikan mesej bermanfaat,” katanya.
Pun begitu, pemegang ijazah kepujian dalam bidang Biologi dan Psikologi daripada University of Toronto, Kanada ini menjelaskan dia tidak sewenang-wenangnya bercakap soal agama lantaran rasa hormatnya yang tinggi.
“Latar belakang pendidikan saya ialah Sains (Biologi dan Psikologi). Jadi, saya hanya akan sentuh topik-topik yang di dalam skop ilmu, kefahaman, dan kemampuan saya sahaja.
“Saya tidak akan memandai-mandai bila bercakap soal agama, kerana rasa hormat saya terhadap agama,” ujarnya.
Dek kerana tidak ramai orang muda yang memilih YouTube sebagai ruang untuk menyampaikan dakwah, ada yang melabelkan dirinya sebagai perintis dakwah melalui laman tersebut, seterusnya memberikan gelaran ‘pendakwah’ kepadanya.
Tambahnya, label ‘pendakwah’ itu diberikan kepadanya oleh orang ramai, bukannya dia yang menggelar dirinya sendiri sebegitu.
“Bagi saya, gelaran itu tidak perlu kerana dakwah ialah menjemput kepada kebaikan dan kepada ALLAH SWT, sepatutnya menjadi ‘second nature’ kepada seorang Muslim, seperti makan. Tidak pula kita dipanggil ‘pemakan’ kan?
“Pendakwah itu juga bukanlah satu title yang kita boleh menang melalui apa-apa pertandingan. Pendakwah itu ialah satu keadaan diri (a state of being), yang sepatutnya menjadi sebati dengan diri setiap Muslim,” jelasnya.
Petah berbahasa Inggeris
Menariknya, anak muda yang mengagumi vlogger tempatan, Mat Luthfi dan vlogger antarabangsa, Olan Rogers ini selesa menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium dalam videonya tanpa menganggap perkara itu boleh mengehadkan jumlah penonton.
“Bagi saya ia tidak mengehadkan, malah mengembangkan. Saya menggunakan Bahasa Inggeris kerana saya ingin dekati audiens dalam Malaysia dan luar Malaysia.
“Lagipun, sudah ada pengguna YouTube Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu, jadi saya ingin memasuki territory yang tidak ramai orang masuk. Saya ingin melengkapi pengguna YouTube lain, bukan menyaingi mereka,” katanya.
Inspirasi anak muda
Selain aktiviti vlogging, Aiman mendekati masyarakat dengan menerima jemputan pelbagai pihak, majoritinya golongan muda untuk perkongsian ilmu dan pendapat.
Malah, anak muda yang telah berkahwin ini memiliki bakat menulis yang dikongsi melalui laman sesawangnya http://www.aimanazlan.com/ serta buku nukilannya bersama Hilal Asyraf bertajuk, Hidup Penuh Erti: Cerita dari Hati, yang diterbitkan pada Februari lalu.
Aktif merakamkan video semasa bergelar pelajar, Aiman mencari masa kosong di celah-celah tugasannya sebagai seorang mahasiswa untuk aktiviti ‘vlogging’nya ini.
“Pengurusan masa saya tidaklah sempurna, tapi saya cuba sedaya upaya. Orang yang bersungguh-sungguh akan cari peluang, orang yang hangat-hangat tahi ayam akan cari alasan,” katanya.
Ujar Aiman, bidang Psikologi yang dipelajari membantunya memahami manusia dengan lebih baik dan secara langsung tidak langsung membantu penyampaian videonya.