Neelofa: Menghargai jasa ibu



PENGORBANAN seorang ibu terhadap semua anak-anaknya adalah besar. Bukan sahaja sebagai orang yang melahirkan malah melindungi dan mendidik supaya anak menjadi manusia berjaya dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tidak pernah mengeluh di atas penat lelah, malah tidak juga mengharapkan pengorbanan itu dibalas dengan wang dan benda. Cukuplah kalau menjadi orang yang berguna serta tidak memalukannya dengan tingkah laku yang mencemar agama.

Sempena Hari Ibu, Pancaindera berkongsi penghargaan daripada golongan artis supaya peranan, kepentingan dan jasa kaum ibu terus dihargai.






Hadiah aset buat Mama Neelofa

MENGAKUI ibunya, Noor Kartini Noor Mohammed adalah wanita paling sempurna, pelakon Neelofa bersyukur kerana anugerah tersebut sememangnya terindah dalam hidup.

Kesempurnaan menjalankan tugas sebagai suri rumah di samping menjadi ahli perniagaan kata Neelofa, itu yang membuatkan dia lebih menghargai ibunya.

Bagi Neelofa, kemampuan ibunya itu menjadikan dirinya lebih menghormatinya sementelah dia tidak pernah mengeluh atas apa dilakukan demi anak-anak.

Justeru bagi mengenang pengorban ibu kata Neelofa, dia merancang satu penghargaan terbaik dan bermanfaat buatnya pada masa depan.

Bagi Neelofa, itu sudah semestinya menjadi tanggungjawabnya untuk membahagiakan ibu yang tidak pernah mengeluh membesarkan dan memberi didikan sejak kecil hingga sekarang.

"Selain menghadiahkan barangan, belanja makan dan memenuhi keinginan Mama, Lofa berhajat untuk menghadiahkan sesuatu yang lebih mahal dan dijadikan aset buatnya.

"Macam rumah atau aset berbentuk pelaburan yang boleh digunakan Mama untuk masa depan. Buat masa sekarang ini, Lofa tak mampu nak bagi pada Mama lagi.

"Insya-Allah kalau ada rezeki lebih dan peluang pada masa akan datang, Lofa nak bagi hadiah itu pada Mama," katanya yang berkongsi minat yang sama dengan ibu iaitu meniaga.

Seperti kebanyakan anak perempuan lain kata Neelofa, dia juga tidak terlepas daripada berlaku perselisihan faham yang menyebabkan dia bermasam muka sementelah mengusahakan perniagaan produk makanan tambahan bersama-sama.

Pun begitu kata Neelofa, situasi yang kurang menyenangkan tersebut hanya mampu bertahan paling lama selama dua hari. Selepas itu mereka pasti akan berbaik semula.

Mengakui benarnya perumpamaan air dicincang tidak akan putus kata Neelofa, situasi marah-marah sayang itu juga kerap membangkitkan kerinduan andai berjauhan dengan ibu.

"Itulah hebatnya wanita bernama Noor Kartini Noor Mohammed. Dia sentiasa mahu melihat anaknya ini tersenyum dan bermanja dengannya selalu," katanya lagi.

Jangan derhaka kepada ibu Hafiz

PENYANYI Hafiz Suip pula menganggap tanggungjawab ibu itu sebagai satu tugas mulia yang tidak ternilai harganya jika dibandingkan dengan mana-mana kerja di atas dunia.

Mengutuk mana-mana pihak yang menderhaka kepada ibu sendiri tegas Hafiz, dia juga memberi peringatan kepada semua tentang dosa melakukan perbuatan terbabit.

"Hanya orang keji saja yang sanggup menyakiti ibu yang mengandungkan dan melahirkan mereka.

"Sebab itu saya sedih apabila mendengar kisah segelintir anak muda kita yang dengan mudah buat dosa tanpa meminta maaf dengan ibu mereka," tegasnya.

Mengakui pernah meninggi suara kepada ibu, Halizawati Mohd Salleh kata Hafiz, selalunya kesilapan tersebut cepat disedari dan pantas meminta maaf kepada wanita berkenaan.

Menyedari bahawa setiap ibu memerlukan perhatian, belaian dan kasih sayang daripada anak kata Hafiz, itu yang perlu diberi kepada mereka.

"Kehidupan ini umpama roda. Kalau dahulu masa kecil, ibu yang menjaga kita sepenuh masa. Tapi apabila kita sudah meningkat dewasa, tanggungjawab itu terletak di bahu kita pula.

"Sebab itu saya meletakkan apa saja yang membabitkan keperluan ibu di tempat pertama. Tak akan ada perkara lain biarpun saya sudah berumah tangga satu masa nanti," katanya lagi.

Rapat anak dan ibu Atilia

Sementara itu, bagi Atilia, dia yang sentiasa mengagumi Salamiah Hassan sebagai seorang penyanyi berkaliber sepanjang zaman, menganggap ibunya itu sebagai seorang yang tegas dan tabah.

Bukan mudah membesarkan anak sebagai seorang ibu tunggal, Atilia melihat Salamiah sebagai seorang wanita dan ibu yang begitu menitik beratkan soal disiplin terutama dalam bab menepati masa.

"Bagi saya mama seorang yang sangat berpegang pada prinsip dan disiplin. Dia memang tegas dan sejak kecil saya memang takut. Cumanya, mungkin ramai tak tahu, sebenarnya di sebalik ketegasan mama, dia ni sangat kelakar orangnya.

"Bagi saya, meski usianya sudah 63 tahun, jiwanya sentiasa muda. Dia periang dan melucukan dengan caranya yang tersendiri," katanya.

Umum tahu bahawa Atilia dan ibunya Salamiah sama-sama berkecimpung membina kerjaya yang sama dalam dunia seni.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa Salamiah memberi pengaruh yang besar kepada anak perempuannya itu untuk menjadi seorang penyanyi.

Namun, lain pula halnya apabila Atilia memberitahu bahawa mamanya itu sebenarnya adalah orang yang paling kuat melarangnya untuk terlibat dalam dunia nyanyian.

"Tapi jangan salah faham. Walaupun saya membesar dengan persekitaran yang mendedahkan saya kepada dunia hiburan dan menyanyi, tetapi mama tidak pernah mendorong saya untuk menjadi penyanyi.

"Apa yang ditekankan oleh mama adalah menghabiskan pelajaran saya dulu sehingga ke peringkat Ijazah, selepas itu mama memberi kebebasan untuk saya memilih apa yang saya mahu ceburi. Selepas tamat belajar, saya bekerja sebagai seorang penerbit di sebuah syarikat produksi.

" Tetapi mungkin disebaban darah seni yang diwarisi dari keluarga saya ni begitu kuat, maka akhirnya saya memilih untuk menjadi penyanyi," katanya.

Mengaku sering mendapat tawaran untuk membuat persembahan bersama sama ada untuk majlis tertutup dan korporat, Atilia yang selesa berkongsi pentas dengan mamanya mengaku tidak sukar mencari persefahaman dengan ibunya ketika masing-masing `menyarung’ nama penyanyi di atas pentas.

"Mungkin sebab kami sangat rapat dan hubungan kami bukan sahaja sebagai anak dan ibu, tetapi sebagai kawan baik, maka kami tak susah nak cari persefahaman ketika menyanyi bersama. Masing-masing memang sangat memahami.

"Paling saya suka mengenai mama, saya benar-benar mengagumi keupayaannya menyanyi dengan baik biarpun sudah mencapai usia emas," katanya.
Previous Post Next Post