Siti Elizad temui cinta baru


Siti Elizad temui cinta baru

SELEPAS berakhirnya hubungan cinta lama yang terjalin lebih 10 tahun, pelakon Jiwa, Siti Elizad mengakui kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka baharu.

"Saya sudah ada calonnya. Tetapi, buat masa ini, kami masih lagi dalam proses kenal-mengenal," katanya kepada Zass melalui aplikasi WhatsApp.

Bagi mengelakkan perkara lama berulang kembali, aktres berusia 30 tahun ini tidak mahu proses perkenalan itu berlangsung dengan terlalu lama.




"Jika boleh, janganlah lama sangat proses ini berlangsung. Biarlah saya menjalani proses bercinta selepas kahwin," katanya yang meletakkan tempoh masa setahun.

Begitupun, bintang telefilem Anak Aku Bukan Milik Aku ini, tidak mahu mendedahkan identiti jejaka yang berjaya menambat hatinya itu.

Sejak membuat kemunculan semula, rezeki Siti Elizad dalam dunia seni tanah air semakin mencurah-curah.

Dia kini menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kerana Terpaksa Aku Relakan, selain bakal muncul dengan drama bersiri Masihkah Ada Cinta untuk slot Samarinda, tidak lama lagi.

Drama lakonannya Jiwa dan Aku Isterinya, kini ditayangkan di TV3.

"Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada dan saya tidak mampu menolak tawaran yang datang kerana ia rezeki ALLAH SWT," kata pelakon Berlari Ke Langit dan Gangster ini.
Previous Post Next Post