Dunia hiburan ini ada banyak pasang surutnya. Kalau kini nama ada di atas, tak mustahil satu ketika nama itu juga akan berada di bawah.
Menyedari permainan dan rentak dunia hiburan, pelakon baharu, Syarul Ridzwan sudah mempunyai perancangan untuk membuka sebuah kafe dan kedai yang menyediakan perkhidmatan sewa kereta untuk jaminan masa hadapan.
Lulusan Ijazah Perniagaan Antarabangsa yang semakin terkenal dengan watak Romi ini juga mendedahkan pada mulanya dia langsung tidak berminat untuk mendalami bidang seni namun dari hari ke sehari dia semakin serasi dengan kerjaya yang disandangnya kini.
“Saya sedar sebagai pelakon tidak selamanya kita menjadi kegemaran semua orang mungkin satu hari nanti orang sudah tidak mahu menggunakan khidmat saya dan melalui kelayakan yang ada sekurang-kurangna saya boleh beralih ke bidang perniagaan.
“Lagipun, saya sudah membuka satu syarikat sebagai persediaan dan saya mensasarkan dua tahun lagi untuk membuka perniagaan yang dirancang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Baguslah dah ada perancangan masa panjang, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Sekurang-kurangnya tidaklah nanti Syarul berharap pada dunia lakonan sahaja kan. Tak gitu?