Raih kejayaan sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah
Filem terbitan Astro Shaw, The Journey, mencatat satu lagi kejayaan peribadi apabila diberikan Anugerah Seni dan Hiburan Cemerlang oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah.
Pengiktirafan itu diterima filem berkenaan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, yang disampaikan kepada penerbit eksekutif The Journey merangkap Naib Presiden Bahagian Perniagaan Cina Astro, Choo Chi Han, dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, minggu lalu.
Hadir sama pada majlis itu ialah pelakon filem berkenaan iaitu Frankie Lee, Joanne Yew dan Sherry Aljeffri.
"Kami terharu apabila filem yang menyentuh hati ramai rakyat Malaysia ini banyak menerima sokongan daripada mereka. Kami mendedikasikan anugerah MBR ini kepada rakyat Malaysia kerana merekalah yang meletakkan The Journey sebagai sebahagian daripada sejarah dalam industri filem tempatan," kata Chi Han.
Tayangan perdana di Eropah
Pengarahnya, Chiu Keng Guan, yang ketika itu menghadiri Festival Filem Timur Jauh Ke-16 di Udine, Itali, sempena tayangan perdana filem berkenaan di Eropah berkata, peluang mempamerkan kisah Malaysia yang unik kepada peminat di benua terbabit adalah satu penghargaan cukup besar. Apatah lagi apabila ia digemari khalayak di sana.
“Saya amat terharu dan berbesar hati kerana filem ini mampu mempamerkan nilai kemanusiaan melalui perspektif rakyat Malaysia dan ia bersesuaian dengan penonton seluruh dunia. Tanpa pengiktirafan daripada rakyat Malaysia, kami tidak mungkin berada sejauh ini," katanya.
Frankie Lee, 74, yang memegang watak sebagai Uncle Chuan, seorang bapa konservatif dalam filem itu pula berkata, menjadi sebahagian daripada filem popular ini memberikannya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Saya hanya menyedari filem ini mendapat sambutan yang baik apabila begitu ramai orang mula memanggil nama saya untuk mendapatkan autograf. Saya bersyukur The Journey membolehkan saya mencapai impian, sama seperti belon udara panas di dalam filem berkenaan," katanya.
Rekod baharu negara
The Journey yang dipersembahkan oleh Astro Shaw Sdn Bhd dan diterbitkan oleh Woohoo Pictures, mencatat rekod pecah panggung baharu sebagai filem Malaysia dengan kutipan RM17.28 juta dalam tempoh 56 hari tayangannya di pawagam.
Ia mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 30 Januari dan di Singapura pada 20 Mac lalu. Kini filem terbabit sedang dalam perancangan untuk tayangannya di Taiwan.