Aliff Aziz mengakui pernah melakukan kesilapan dengan tidak menjaga disiplin pada waktu kerja.
Penyanyi Aliff Aziz berkata, kehadirannya di persada seni adalah untuk menjadi seorang artis dan bukannya mahu menjadi contoh kepada masyarakat.
Sehubungan itu Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, meminta mana-mana pihak tidak beranggapan seseorang artis itu perlu menjaga perilaku masing-masing untuk dicontohi kerana artis juga adalah manusia yang sering melakukan kesilapan.
"Saya pelik kenapa orang kata artis perlu menjadi contoh kepada masyarakat sedangkan artis hanyalah manusia biasa dan bukannya Nabi.
"Sebagai contoh, ada masanya saya mengalami masalah disiplin dan kerana itu orang hentam dan kata saya tidak layak menjadi contoh masyarakat.
"Perlu diingat kehadiran saya ke dalam industri adalah untuk menjadi anak seni bukannya mahu jadi contoh kepada masyarakat," tegasnya kepada mStar Online.
Tambah bintang dari Singapura ini, dia sudah lali dengan segala tohmahan orang kepadanya dan mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada menghadiri sebarang acara-acara hiburan agar tidak timbul kontroversi buruk mengenai dirinya lagi.
Katanya, pendekatan itu ternyata berkesan memandangkan namanya kini tidak menjadi bahan bualan di mana-mana ruangan gosip media mahupun di laman internet.
"Saya rasa berdiam diri adalah jalan yang terbaik. Pihak luar selalu menghentam saya dengan macam-macam isu.
"Umur saya pun makin lama makin tua, jadi saya tidak mahu gosip negatif sahaja yang melekat sepanjang perjalanan karier seni.
|
"Tetapi diam-diam saya berisi. Saya memberikan fokus sepenuhnya untuk persiapan album terbaru yang dijangka akan dipasarkan selepas Hari Raya nanti," katanya.
Sementara itu, Aliff berkata, dia yakin kemunculannya menerusi album baharu dapat melenyapkan gosip-gosip negatif yang pernah dilaluinya.
"Album yang bakal saya tampilkan ini adalah muzik yang segar hasil daripada kerjasama komposer yang antaranya seperti Faizal Tahir dan Kuncidemak.
"Saya harap dengan kemunculan album ini juga ia dapat memberi persepsi baru mengenai saya oleh masyarakat," tuturnya.