TATKALA diumumkan sebagai tiga finalis Kilauan Emas musim keempat, ramai yang menjangkakan Arip hanya mampu meraih tempat ketiga berdasarkan prestasinya sebelum ini.
Namun telahan kebanyakan orang mengenai prestasi peserta berusia 42 tahun ini ternyata meleset apabila Arip atau nama sebenarnya, Omar Sharif Mat Din memberikan persembahan yang cukup mantap dan bertenaga, sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai juara dengan jumlah undian 66.51 peratus.
Dengan itu, Arip menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah kereta Toyota Camry beserta trofi dan pakej percutian ke Bali.
Arip turut menerima Anugerah Khas Juri sebagai menambat hati juri mengadakan persembahan terbaik, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
Sementara itu, Zain meraih tempat kedua dengan membawa pulang RM50,000, sebuah kereta Toyota X Gear, sebuah trofi dan pakej percutian ke Ho Chi Minh.
Manakala Ben yang sebelum ini disebut-sebut sebagai juara, akur apabila meraih tempat ketiga dan menerima RM30,000, sebuah trofi serta pakej percutian ke Bandung.
Ketiga-tiga peserta turut mendapat langganan majalah MIDI selama setahun.
Hadiah disampaikan oleh pengurus saluran Astro Prima, Namanzee Harris dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.
Markah peserta diadili 70 peratus daripada penilaian juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Ziana Zain, Datuk Hattan dan Jamal Mirdad, manakala 30 peratus berdasarkan undian SMS penonton.
Pada peringkat akhir ini menyaksikan para peserta diuji dengan tema yang lebih mencabar di mana mereka perlu membuat sebanyak tiga persembahan iaitu solo, medley dan duet.
Program yang dikendalikan oleh Raja Azura itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada Ella, Datuk M Nasir, Mamat Khalid, Datuk Hattan dan Jamal Mirdad.
Bawa ibu tunai haji
Di sebalik kejayaannya itu, Arip mendedahkan penglibatannya dalam pertandingan Kilauan Emas ini sebenarnya didorong oleh ibunya, Rahmah Pakis, 67.
"Memandangkan sebelum ini saya sering menyertai pertandingan kugiran atau band sehingga mendapat tempat pertama dan kedua, jadi dia suruh saya sertai Kilauan Emas untuk lihat sejauh mana kemampuan saya.
"Saya pun ke Shah Alam untuk menyertai uji bakat dan tiba seawal jam 4 pagi bersama isteri.
"Masa mula-mula ambil borang, saya rasa berbelah bahagi juga. Tapi mujur isteri banyak memberi semangat kepada saya dan saya teruskan," katanya.
Arip berkata, dia akan menunaikan janjinya untuk menghantar ibunya mengerjakan haji dengan duit kemenangannya itu.
Bukan itu sahaja, Arip bersama Zain turut merancang membuka satu restoran dengan duit kemenangan mereka.
"Sebelum menyertai Kilauan Emas, saya sudah buat berbagai kerja dan yang terakhir menjadi pembuat air di sebuah kedai makan.
"Jadi dengan duit kemenangan ini, saya mahu mengubah hidup saya menjadi lebih baik dan saya berharap perancangan kami akan berjalan lancar kelak," jelasnya.
Dituduh penagih dadah
Ditanya mengenai penghinaan sesetengah orang kepada dirinya termasuk dikatakan seorang penagih dadah kerana sering bertukar kerja, Arip berkata, dia menerima penghinaan itu.
"Walaupun orang kata saya penagih dadah, ingin saya tegaskan di sini, saya tidak pernah ambil barang terlarang itu.
"Saya sering bertukar kerja kerana mahu mencari nafkah untuk keluarga dan badan saya yang kurus ini bukan kerana saya mengambil dadah.
"Tapi hari ini saya dah buktikan pada mereka yang gemar menghina saya bahawa saya boleh berjaya," ujarnya.
Ringgo jadi sejarah: Zain
Sementara itu, Zain atau nama sebenarnya, Md Zain Ramli tidak menyangka, pada mulanya sekadar menemani seorang rakan menjalani uji bakat, dia akhirnya kembali melibatkan diri secara tidak langsung di dalam industri selepas 11 tahun tidak
menyanyi.
"Sebenarnya kawan saya yang beria-ia mahu menyertai uji bakat dan saya hanya menemaninya sahaja. Tapi bila tiba di lokasi uji bakat, dia ambil borang dan isikan sekali untuk saya.
"Tapi sebaik menjalani uji bakat, saya lepas dan dia tidak. Masa mula-mula itu saya rasa cukup berbelah bahagi, fikirkan macam-macam, tapi atas dorongan isteri, saya sertai juga," ujarnya.
Zain yang sebelum ini vokalis kumpulan Arrow dan dikenali sebagai Ringgo berkata, dia kini ibarat satu produk lama yang melalui proses penjenamaan semula.
"Kalau boleh saya mahu orang kenali saya sebagai Zain Kilauan Emas kerana Ringgo itu sejarah lama. Tapi saya tak kisah jika orang nak panggil saya Ringgo," katanya.
Ikut arus Astro
Zain berkata, dia tidak berhasrat untuk bekerja keras seperti ketika masih muda dan hanya akan mengikut segala perancangan yang dilakukan Astro.
"Secara jujurnya saya melihat industri seni kita sekarang semakin merudum dan ramai penyanyi lebih selesa mengeluarkan single berbanding album.
"Jadi, saya lebih senang mengikut percaturan dan perancangan Astro yang sememangnya lebih mahir dalam urusan pemasaran," ujarnya.
Bagaimanapun Zain berkata, dia dan Arip ada merancang untuk berduet bersama dan berharap perancangan itu akan berjalan dalam masa terdekat ini.
"Sementara masih panas, orang masih ingat, kami memang ada merancang untuk berduet, tapi bergantung kepada keadaan," katanya.
Tiada istilah terlambat: Ben
Dalam pada itu, peserta paling senior, Ben atau nama sebenarnya, Benasil Kudong berkata, di dalam muzik, tiada istilah lambat atau cepat dan dia tidak pernah menyesal kerana menyertai Kilauan Emas pada usia 65 tahun.
Biarpun pada mulanya disebut-sebut sebagai juara, Ben berkata, dia redha dan menerima keputusan mendapat tempat ketiga.
Ben berkata, dia merancang untuk menerbitkan sebuah album Inggeris dan merakamkan beberapa lagu Inggeris yang sudah diciptanya.
"Antara lagu saya cipta adalah kesinambungan daripada sebuah lagu Tagalog berjudul Anak. Cuma bezanya lagu saya menceritakan anak yang sudah membesar," katanya yang demam kerana rindukan anak-anak di Sabah.
Ben berkata, dia mahu pulang ke Lahad Datu berjumpa keluarga dahulu, sebelum merangka karier seninya selepas ini.