Telefilem Saloma akan ditayangkan di Astro First Eksklusif
KUALA LUMPUR: Sudah lebih 30 tahun, Salmah Ismail atau lebih dikenali dengan nama Saloma telah meninggalkan kita.
Namun, pemergiannya seakan dipandang sepi dan dilupakan semua terutama penggiat seni tanah air.
Tidak seperti pemergian suaminya, Tan Sri P. Ramlee pada 27 Mei 1973 yang diingati semua pihak saban tahun.
Sehubungan dengan itu, syarikat produksi Kus Semangat Aktor membawakan sebuah telefilem mengenai biopic biduanita negara, Saloma sebagai mengiktiraf sumbangan bintang lagenda itu yang tiada tolok bandingnya.
Telefilem dua episod kisah hidup Saloma ini, diarahkan sendiri oleh anak saudara Saloma iaitu Melissa Saila.
Kata Melissa, idea penghasilan telefilem ini tercetus dari ibunya, Seniwati Mariani yang mahukan agar semua tahu siapa itu Saloma yang dikenalinya.
“Ia merupakan idea asal ibu saya yang ingin melihat kisah hidup adiknya difilemkan dan ditonton semua” kata Melissa ketika dihubungi ARTISMELETOP.
Nabila Huda sebagai Saloma dan Tony Eusoff sebagai P. Ramlee
Selain itu, Melissa turut berpuas hati dengan lakonan pelakon watak utama telefilem ini, Nabila Huda kerana berjaya membawakan watak Saloma dari muda hingga ke akhir hayatnya dengan baik.
“Nabila telah melalui satu proses ujibakat tertutup yang dijalankan oleh produksi.
Dia terpilih kerana menepati ciri-ciri yang dikehendaki produksi dan Nabila jelas dapat membawa watak dengan baik sekali” jelas Melissa lagi.
Selain Nabila, turut membintangi telefilem ini adalah Tony Eusof, Sazzy Falak, Hasnul Rahmat, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan ramai lagi.
Telefilem yang berdurasi empat jam ini akan ditayangkan dalam dua bahagian di saluran Astro First Eksklusif pada 21 Ogos nanti.