Azhar Sulaiman Mahu Selesai Cara Aman Dengan Guru Yang Tampar Anaknya



Berikutan insiden anak kepada pelakon Azhar Sulaiman iaitu Andika Rees ditampar sebanyak sepuluh kali oleh gurunya kelmarin, aktor berusia 42 tahun ini memilih penyelesaian cara baik dengan guru tersebut.

Menurut Azhar Sulaiman, dia memilih untuk menyelesaikan secara aman demi menjaga hubungan serta nama baik sekolah anaknya yang kini pelajar tahun enam di sekolah tersebut.

"Memang pada mulanya saya agak 'panas' dengan apa yang berlaku tetapi bila difikir balik saya tidak sepatutnya bersikap begitu, jadi kini saya sedikit tenang.

"Saya marah, tapi tidaklah sehingga mahu merosakan institusi sekolah itu semata-mata untuk masalah anak saya ini.

"Tak perlulah saya dedahkan apa yang berlaku. Lagipun anak saya berada dalam keadaan baik, cuma mungkin dia ada sebab mengadu kepada saya," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu Azhar Sulaiman turut diminta mengulas mengenai status yang dinaikkan ke dalam laman sosial Facebook nya kelmarin yang mana seolah-seolah berang dengan tindakan guru terbabit. Malah dalam status tersebut dia seolah-olah mengugut mahu berjumpa dan bersemuka dengan individu guru yang menampar anaknya itu.

Walau bagaimanapun dia akui bakal meneruskan hasratnya untuk berjumpa dengan guru tersebut tetapi hanya mahu berbincang secara aman.






"Saya ada menelefon cikgu berkenaan, itu pun tidak berniat untuk memarahi apatah lagi bersuara tinggi. Cuma saya hanya ingin tahu apa puncanya dan mengapa hukuman itu diberikan.

"Saya pun tak mahu panjangkan perkara ini dan akan berjumpa dengan cikgu itu dalam masa terdekat untuk bersemuka dan berbincang secara kekeluargaan untuk kebaikan anak saya.

"Yelah, hari ini cikgu itu salah, esok lusa mungkin saya atau anak saya yang salah. Manusia buat kesalahan. So let forgive and forget as Ramadan is coming soon," luahnya lagi.
Previous Post Next Post