Buat julung kalinya, pengacara sensasi Azwan Ali akui bakal mengadakan sebuah majlis berbuka puasa besar-besaran yang bakal dihadiri oleh 50 orang artis tanah air di Restoran N’Dah Mahligai Shah Alam pada 5 Julai ini.
Azwan Ali berkata majlis berbuka puasa yang diberi nama Majlis Iftar Azwan Azli & Anak-anak Yatim Tahfiz Asrama Darul Aminan Seremban itu akan diadakan dengan meriah untuk berkumpul bersama rakan-rakan artis sambil membuat amal kebajikan untuk anak-anak yati m yang dijemput.
“Rasanya sudah lama saya tidak mengadakan majlis sebesar ini bersama anak-anak yatim, kali terakhir seingat saya pada tahun 2007, jadi saya rasa ini kebangkitan saya selepas 7 tahun dan selepas segala kontroversi yang melanda diri saya.
“Lagipun majlis ini tanda kesyukuran saya selepas beberapa kejayaan yang rezeki yang melimpah pada tahun 2014. Saya dapat banyak jemputan daripada stesen televisyen untuk menjadi artis undangan dan kebanyakannya mendapat rating yang tinggi.
“Saya juga bersyukur apabila majlis ini pula berjalan dengan mudah sekali apabila ramai yang ingin menaja dari segi lokasi, makanan dan barang-barang untuk goodies bag.
“Lebih menggembirakan saya apabila sudah lebih 50 orang artis yang akan bersetuju untuk hadir ke majlis saya. Mereka antara rakan-rakan saya yang baru dan lama yang akan memberikan sokongan kepada majlis ini,” katanya kepada ARTISMELETOP
Antara 50 orang artis itu adalah Fizz Fairuz, Almy Nadia, Datuk Aznil Hj Nawawi, Datuk Yusof Haslam, Zara Zya, Tasha Shila, Tonok, Rebecca Nur Al – Islam, Ifa Raziah, Umir Aida, Syanie dan ramai lagi.
Menurut Azwan Ali, menariknya dia akan menunjukan persembahan memasak pada majlis itu nanti buat tetamu yang hadir.
“Saya akan masak secara live pada majlis itu hidangan istimewa, Bihun Hailam Seafood untuk tetamu selain akan membawa beberapa hidangan masakan saya seperti Rendang Ayam, Nasi Impit, Spaghetti dan banyak lagi,” jelasnya lagi.
Selain restoran N’Dah Mahligai, majlis tersebut turut mendapat tajaan lain seperti daripada syarikat pengeluar Kurma dan Air Zam Zam iaitu Awali, produk rempah, Hawani Spice dan banyak lagi.