NAD ZAINAL terbuka bercerita tentang kisah cintanya yang menjadi buruan kerana membabitkan dua lelaki iaitu Azwan dan Hefny.
HUBUNGAN cinta antara pelakon Nad Zainal dengan kekasihnya Azwan Kombos bukan lagi rahsia apabila pasangan itu tanpa berselindung mengakui bercinta dan sering tampil dalam majlis-majlis hiburan bersama.
Malah, mereka juga dikatakan sudah menjalani kursus kahwin dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, hubungan cinta lebih tiga tahun itu dikatakan berakhir kerana orang ketiga.
Orang ketiga yang dimaksudkan ialah pengacara dan pelakon Hefny Sahad.
Nad kemudian tampil menjelaskan hubungan cintanya bersama Azwan putus bukan disebabkan Hefny, sebaliknya berpunca daripada masalah antara mereka sendiri.
Terbaharu, menerusi sebuah rancangan hiburan, Hefny pula mengakui dirinya dan Nad kini sangat rapat dan bukan sekadar kawan biasa.
Kosmo! telah mendapatkan kenyataan Nad yang kini berada di Korea mengenai pengakuan Hefny dan Azwan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Nad menerusi kiriman Whats App.
Kosmo!: Nad, Hefny telah mengakui bercinta dengan anda. Bagaimana pula dengan anda?
NAD: Dialah lelaki paling rapat dan saya selesa. Apa yang dia beritahu itulah sebenarnya (bercinta). Tiada apa yang hendak ditambah. Saya gembira dan harap semuanya berjalan dengan lancar.
Bilakah sebenarnya anda dan Hefny rapat?
Selepas saya dan Azwan putus.
Apakah yang membuatkan anda selesa dengan Hefny?
Paling utama dia seorang yang bijak. Dia juga matang dan bercita-cita tinggi. Kami juga mempunyai minat yang sama.
Saya ada menghubungi Azwan, dia beritahu, Hefny memang pernah cuba mendekati ketika anda bersama Azwan lagi. Benarkah?
Tidak.
Apakah yang menyebabkan kalian berpisah?
Saya tidak mahu komen. Benda sudah lepas. Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Apa yang boleh saya katakan kami sudah lama berpisah.
Boleh beritahu apa anda buat di Korea?
Saya sedang menjalani penggambaran telefilem raya bersama Syarul Ridzwan.