Vokalis kumpulan OAG, Radhi bakal menimang cahaya mata kedua apabila isterinya, Shahira Ayu, 20, kini disahkan hamil empat minggu. Jelas Radhi, dia sangat teruja dengan berita kehamilan isterinya kerana anak sulung Radhi, Muhammad Rifdhi Muslim, hasil perkahwinan dengan bekas isteri, sudah mencecah usia 9 tahun.
“Sembilan tahun itu cukup lama dan kalau nak diiikutkan, saya sendiri tidak ingat bagaimana perasaan menjadi ayah ketika itu. Bila Ayu kata dia hamil, saya teruja seolah-olah menjadi ayah baru,” kata Radhi sewaktu sesi fotografi bersama GUA.
Tambah Radhi, dia lebih risaukan keadaan Ayu berbanding perasaan terujanya kerana banyak yang harus dia pelajari semula bagi membantu isterinya itu melalui fasa-fasa kehamilan.
“Saya dah pernah ada anak dan ini pengalaman pertama buat Ayu. Jadi saya sangat risau sebab banyak perkara yang saya perlu bantu dia,” kata Radhi yang mengharapkan agar dikurniakan anak perempuan.