Jimmy (kiri) bersama isterinya, Mariam Jamilah.
Pengacara dan penyampai radio Jimmy Shanley menganggap perkahwinannya dengan Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, menamatkan spekulasi yang menuduhnya selama ini dia bercinta dengan seorang wanita berstatus janda.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, berkata, khabar angin tersebut sedikit sebanyak menganggu hubungan mereka yang ketika itu masih dalam proses ingin mengenali antara satu sama lain.
"Alhamdullillah, perkahwinan ini menepis khabar angin sebelum ini tentang saya berkahwin atau bercinta dengan janda.
"Isteri saya ini bukan janda dan ini perkahwinan pertamanya. Saya tahu ada orang sebarkan fitnah tentang saya berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda kerana mereka tersilap orang.
"Ketika khabar angin itu tersebar saya sudah berkawan dengan dia dan saya bimbang juga tanggapan dia kepada saya," ujarnya ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah diantara dia dengan wanita itu yang diadakan di Hotel Concorde, di sini, petang Sabtu.
Jimmy Shanley sah bergelar suami kepada Mariam Jamilah dengan sekali lafaz berwalikan bapa Mariam iaitu Abdul Jalil Othman.
Jimmy memberi mas kahwin sebanyak RM1,000 dan wang hantaran sebanyak RM15,000.
Sebelum ini, Jimmy pernah bernikah dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan berpisah pada 10 Oktober 2012.
Hasil perkahwinan singkat itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Zahrah Rania Shanley yang kini berusia 3 tahun.
Dalam pada itu, Jimmy turut menjelaskan tindakannya merahsiakan hubungan tersebut adalah bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan fitnah yang boleh menjejaskan hubungan tersebut.
"Bukan saya merahsiakan sebaliknya saya tidak mahu orang bercakap dan timbul apa-apa fitnah lagi.
"Sebelum ini saya pernah mengalami macam-macam perkara dan saya tidak mahu ia berlaku kepada Mariam," katanya.
Sementara itu, menceritakan tentang perkenalan mereka, Jimmy berkata, hubungan tersebut diperkenalkan oleh seorang rakan.
Katanya, sifat wanita itu yang mementingkan ciri-ciri wanita Islam dan mempunyai latar belakang keluarga yang mengamalkan ajaran agama Islam dengan baik menambat hatinya.
"Kami dikenalkan oleh seorang kawan dan boleh dikatakan sudah hampir beberapa tahun dan bagi saya dia seorang yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
"Dia tidak ramai kawan sama seperti saya dan kami suka mengisi masa lapang dengan mencari makanan yang sedap-sedap dan main volley ball," ujarnya.
Sementara itu, Mariam berkata dia menerima lamaran Jimmy kerana pemuda itu seorang yang mementingkan agama dan boleh membimbingnya menjadi isteri yang solehah.
Tambahnya, Jimmy juga pandai mengambil hati kedua-dua orang tuanya.
"Saya selesa bersama dia dan dia seorang yang tahu tentang agama, lagi pula dia pandai menjaga hati saya dan ibu bapa saya," katanya.
Sementara itu, pasangan ini memilih untuk berbulan madu di Eropah sebelum bulan Ramadan ini.