Muzik jazz yang mula berkembang pada abad 20-an dalam kalangan penduduk Amerika-Afrika di selatan Amerika Syarikat dianggap sebagai satu aliran muzik khas untuk golongan elit dan kelas atasan.
Tetapi tahukah anda, muzik jazz sebenarnya merupakan karya seni yang dihasilkan oleh golongan kulit hitam yang ditindas suatu ketika dahulu.
Bagi mengubah persepsi tersebut, empat orang anak muda yang menggelarkan diri mereka Old But Young (Obygeng), mahu mengembalikan semula aliran muzik klasik ini ke dalam jiwa masyarakat terutama golongan muda.
Di samping itu, mereka ingin membuktikan bahawa muzik jazz bukan hanya didengari oleh golongan elit, bahkan ia merupakan muzik yang harus dinikmati oleh semua golongan.
Kumpulan unik yang dianggotai Muhammad Aqil Hakimi Zainal Abidin (vokalis), 22; Muhammad Nazri Md. Bidin (keyboard), 26; Muhammad Hariz Mohd. Radzuan (drum), 22, dan Mohammad Fariz Zainal (bass), 21, ini ditubuhkan secara rasmi pada awal tahun ini.
Menurut Muhammad Aqil, kesemua anggota Obygeng mempunyai latar belakang muzik dan minat yang sama. Keserasian di antara mereka akhirnya berjaya melahirkan sebuah album berjudul Nakal yang telah dilancarkan di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Walaupun kumpulan ini masih baharu, namun dengan adanya kelebihan dan keunikan sendiri, mereka menjadikan muzik klasik jazz sebagai kekuatan utama kumpulan.
"Album yang menjadi percubaan pertama ini diharap dapat diterima oleh semua pendengar. Kami bukanlah mahu mengejar nama dan populariti semata-mata, apa yang kami inginkan agar semua orang dapat menerima karya ini.
"Tambahan pula dengan suntikan elemen muzik klasik jazz, kami mahu menghidupkan kembali lagu-lagu nostalgia agar ia tidak pudar di halwa telinga kita. Selain itu, kami ingin membuang persepsi orang ramai yang mengatakan aliran muzik ini hanya didengari oleh golongan elit dan atasan," katanya.
Tidak menafikan bahawa kebanyakan pendengar lagu berentak jazz ini adalah mereka daripada golongan berumur, namun mereka tetap positif untuk menakluk hati golongan muda dengan lagu-lagu mereka yang lebih segar.
Ujar Aqil, penerbitan album ini merupakan hasil titik peluh mereka sendiri. Kos bagi menerbitkan album Nakal ini ditanggung sendiri oleh mereka dengan menggunakan wang hasil daripada persembahan nyanyian di Restoran Tanjung Puteri milik Chef Zainal Abdul Rahman yang juga merupakan pengurus Obygeng.
Selain lagu Nakal, album tersebut turut memuatkan 10 buah lagu lain, antaranya Aizat Oh Aizat, Gadis Idamanku, Rindulah Rindu serta lagu duet bersama pengurus mereka, Chef Zainal iaitu Raya Obygeng.
Apa yang menarik mengenai album ini adalah empat daripada lagunya merupakan ciptaan Obygeng sendiri, manakala selebihnya adalah lagu nyanyian semula yang diberi nafas baharu.
Album yang dijual pada harga RM15 seunit di pasaran itu diterbitkan oleh Tanjung Puteri Production di bawah edaran Chorus Music Sdn. Bhd.