Pekin Ibrahim: Semoga Uqasha Berbahagia



"Saya tidak mahu komen lagi mengenai perkara tersebut. Saya sibuk dengan kerjaya saya. Saya sudah rasa bosan asyik disoal perihal saya dan dia," ujar pelakon Pekin Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai hubungan dirinya bersama aktres Uqasha Senrose yang sudah berakhir.

"Saya yang tidak mahu. Saya sudah rasa tiada jalan untuk kami. Kami sudah tiada apa-apa hubungan. Semoga Uqasha berbahagia," tuturnya lagi.

Ketika ditanya adakah perihal percintaan yang dihebohkan sedikit sebanyak mengaburi cerita mengenai kerjayanya sebagai seorang pelakon, Pekin ada pendapat sendiri mengenai perkara ini.






"Biasalah, orang lebih melihat perihal cinta. Jika diikutkan, tahun lalu banyak filem saya ditayangkan. Perkara itu saya rasa seiring. Setiap tahun, saya sasarkan untuk berlakon dua filem. Kalau lebih, saya anggap rezeki.

Saya kini sudah selesaikan enam penggambaran filem iaitu Tujuh, Vila Nabila, Rumah Pusaka di Simpang Jalan, Rentaz, Juvana 2 dan Juvana 3. Kini saya sedang menjalani penggambaran untuk filem Ophilia arahan Raja Mukhriz," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem 'Juvana' di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada Khamis.






Jadi Lelaki Psiko

Mengulas mengenai wataknya dalam filem tersebut, Pekin memainkan peranan sebagai To'Ki, seorang jejaka yang berperwatakan psiko.

"Saya memainkan peranan sebagai sahabat baik kepada Lan Todak, watak yang ada sebelum ini dalam filem Juvana 1. To'Ki merupakan seorang lelaki psiko dan pernah membunuh tunangnya," cerita pelakon filem Cerita Kita ini

Jelas Pekin, tiada halangan untuk dirinya dalam memainkan watak antagonis. Walau bagaimana pun, Pekin kurang gemar melakonkan babak-babak pertarungan.






"Saya rasakan cabaran untuk saya jayakan watak ini adalah babak-babak pertarungan. Saya kurang gemar dalam menjayakan babak-babak sebegitu. Dalam filem ini, pelakon yang menjadi 'double' untuk saya semasa menjalani aksi 'stunt' tercedera ketika melakonkan salah satu babak dalam filem ini. Dia dikejarkan ke hospital kerana terkena serpihan kaca. Jadi, bayangkan jika saya melakonkan babak sedemikian, pastinya saya sudah tercedera," ujar Pekin mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post