Ramai Artis Takut Bekerja Bawah Sheila Rusly


Sheila Rusly

Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly mengakui ramai artis baharu takut untuk bekerja di bawah syarikat terbitanya JS Pictures kerana menganggap dia terlalu cerewet.

Sheila, 43, berkata perkara itu dibesarkan lagi apabila ada pihak yang cuba menakut-nakutkan artis kononnya dia bersikap tegas tidak bertempat.

"Saya tidak nafikan kebanyakkan artis yang baru pertama kali kerja dengan kami agak takut kerana mereka mendengar desas-desus tentang cara kerja saya.

“Memang saya agak teliti dan serius bila bekerja kerana saya mahu hasil yang baik agar stesen televisyen berpuas hati dengan produk terbitan kami," katanya ketika ditemui pada pelancaran program-program Ramadan dan Syawal terbitan syarikat produksi milik Sheila iaitu JS Puctures di Hotel Renaissance, di sini, Khamis.

Antara drama dan program yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan ini ialah Di Pintu Neraka, Lima Ramadan, Ramadan Jangan Pergi, Ketuk-Ketuk Ramadan dan Ketuk-Ketuk Syawal.

Selain itu katanya, karakter dan watak garang yang sering dilakonkan sebelum ini turut memberi persepsi buruk kepadanya.


Sheila Rusly

Bagaimanapun, dia akui sentiasa menitik beratkan soal disiplin ketika berada di lokasi penggambaran.

"Bukan pelakon sahaja malah semua yang terlibat dengan produksi saya perlu ikut cara saya bekerja.

"Paling penting ialah disiplin dan mereka perlu buat kajian dulu tentang watak sebelum berada di set.

"Saya mahu orang luar menilai dan dapat rasakan hasil kerja itu, jika cerita sedih biar ia sampai betul-betul dalam hati mereka," katanya.






Dalam pada itu, Sheila mengakui menitikberatkan soal pemilihan pelakon dalam membintangi drama dan program terbitannya.

Katanya, dia banyak mengambil muka baharu dalam sesebuah watak penting supaya tidak dipengaruhi oleh kontroversi atau kehidupan peribadi artis yang sudah diketahui umum.

"Saya sangat pentingkan pemilihan pelakon dan watak mereka, contohnya jika watak itu sedih dan orang miskin saya akan mengambil pelakon baru yang tidak dikenali lagi.

"Penonton akan lebih menjiwainya berbanding saya letak pelakon yang sudah biasa di lihat di laman sosial yang sering berpakaian seksi dan berjenama," ujarnya.

Antara artis yang hadir pada majlis tersebut ialah Nad Zainal, Lutfya, Rabecca Nur Islam, Sharul Ridzuan, Syafiq Kyle dan Ryzal Jaafar.
Previous Post Next Post