RIM Letak Syarat Baru Untuk AIM 2015



Majlis anugerah paling berprestij dalam industri seni muzik tanah air, Anugerah Industri Muzik (AIM) sekali lagi bakal mewarnai diari anugerah tempatan apabila edisi ke-21 nya dilancarkan di KL Live @ Life Centre, pada Rabu.

Seiring dengan majlis pelancaran tersebut, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Encik Rosmin Hashim turut mengumumkan perkara-perkara berkaitan pencalonan, tempoh dan syarat kelayakan, kaedah penghakiman serta kriteria untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

“Tahun ini tiada sebarang perubahan dari segi syarat, kriteria mahupun kategori, namun bermula tahun 2015, semua pencalonan AIM hanya terbuka kepada ahli RIM dan RPM (Recording Performers Malaysia Berhad) sahaja.

Mengenai pencalonan juga masih lagi sama iaitu lima calon bagi setiap kategori. Akan tetapi, jika juri rasa yang layak hanya tiga sahaja, maka ia akan tetap kepada tiga. Bagaimanapun, misalnya jika tidak ada yang dirasakan layak tercalon, maka kategori itu akan digugurkan,” ujar Rosmin kepada media yang hadir.






Ditanya sama ada syarat baru yang dikenakan RIM ada kaitan dengan krisis atau konflik yang melanda antara RIM dengan PRISM sebelum ini berhubung isu royalti, Rosmin menafikan sekeras-kerasnya mengenai perkara tersebut.

“Isu berkaitan PRISM, itu sebenarnya adalah pilihan yang terletak di tangan artis sendiri. Apa yang RIM lakukan sebelum ini adalah untuk kepentingan para artis juga dari segi kutipan royalti. Kutipan yang kita buat juga melebihi RM2 juta serta diagih-agihkan kepada ahli yang berdaftar dan ini banyak memberi kebaikan kepada ahli.

Apapun, mereka mempunyai kebebasan untuk memilih. Tapi jika mereka tidak berdaftar dengan RPM, mereka tak boleh dicalonkan untuk AIM akan datang sebab memang syarat yang dikenakan memerlukan seseorang itu berdaftar di bawah RIM dan RPM,” jelas Rosmin lagi.

Bagi pencalonan untuk AIM 21, ia terbuka untuk lagu atau album dalam bahasa Malaysia dan Inggeris yang telah dikeluarkan dalam Malaysia dari 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014. Tempoh pencalonan dibuka bermula pada hari Rabu, 25 Jun 2014 dan akan berakhir pada hari Khamis, 7 Ogos 2014 jam 5.00 petang. Borang pencalonan telah diedarkan kepada semua ahli RIM dan juga boleh dimuat turun di www.aim.org.my.

Berikut merupakan senarai penuh 20 kategori anugerah yang dipertandingkan pada AIM 21 :

1. Artis Baru Terbaik

2. Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Lelaki)

3. Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita)

4. Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Berkumpulan)

5. Persembahan Vokal Duo / Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu (KATEGORI BARU)

6. Kulit Album Terbaik

7. Rakaman Album Terbaik

8. Video Muzik Terbaik

9. Lagu Pop Etnik Terbaik

10. Lagu Nasyid Terbaik

11. Lagu Rock Terbaik

12. Lagu Pop Terbaik

13. Lagu Hip Hop Terbaik

14. Lagu Bahasa Inggeris Tempatan Terbaik

15. Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara

16. Anugerah Kembara

17. Anugerah Sri Wirama

18. Sususan Muzik Terbaik di Dalam Lagu

19. Lagu Terbaik

20. Album Terbaik
Previous Post Next Post