SEJAK disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau Lupus, penyanyi lagu Love You Like A Love Song, Selena Gomez telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan keluarga dan peminatnya.
Perkara itu dianggap satu lagi dugaan buat Selena yang sebelum ini pernah menghadapi masalah kemurungan sehingga terpaksa dimasukkan ke pusat pemulihan awal tahun lalu.
Orang yang paling bimbang dengan keadaan penyanyi itu tentu sekali neneknya, Mary Gomez yang tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada cucu kesayangannya itu.
"Saya tahu Selena sekarang berada dalam keadaan yang tertekan. Cuma saya tidak mahu dia mengabaikan kesihatannya. Saya juga bimbang dengan keadaan dirinya.
"Setiap hari saya berdoa agar Tuhan sentiasa menjaganya. Dia terlalu sibuk dengan kerja. Yang dia perlukan adalah rehat secukupnya," kata Mary.
Selena bagaimanapun masih belum tampil memberi sebarang komen mengenai keadaan dirinya. Namun ramai menasihatinya agar menjaga diri memandangkan penyakit yang kerap menyerang kaum wanita itu boleh dianggap berbahaya.
Menurut sumber, Selena telah diberitahu oleh doktor yang merawat bahawa penyakit tersebut tidak mempunyai ubat untuk sembuh dan dia perlu sentiasa mendapatkan rawatan di hospital secara berkala.
"Keadaan itu merunsingkan dirinya. Namun dia sudah mula sedar mengenai penjagaan kesihatan dan tidak pernah gagal untuk ke hosiptal bagi mendapatkan rawatan susulan," kata sumber itu.
Ketika dia berada dalam dilema memikirkan dugaan penyakitnya itu, Selena juga dihimpit kembali dengan gosip apabila dikatakan menjalinkan semula hubungan dengan bekas kekasihnya, Justin Bieber baru-baru ini.
Sekitar Mac lalu hal yang serupa diperkatakan tetapi didakwa tidak begitu serius dan buat sekian kalinya mereka putus hubungan pada bulan lepas.
Ada yang berpendapat, Justin sengaja menukar subjek berita mengenai kisah percintaan kerana mahu orang ramai melupakan insiden video berunsur rasis yang membabitkan dirinya sebelum ini.
Selepas mendapat banyak reaksi negatif dan kutukan daripada pelbagai pihak, Justin kembali mencari Selena kerana menganggap hanya gadis itu sahaja yang memahami dirinya ketika dia memerlukan seseorang di sisi.
Namun keluarga Selena tidak begitu merestui hubungan tersebut kerana selama ini Justin banyak memberi pengaruh yang buruk kepada penyanyi itu.
Memandangkan tahap kesihatan Selena sekarang tidak begitu baik, keluarganya bimbang hubungan cinta yang kononnya terjalin semula itu akan membuatkan keadaan Selena bertambah buruk kerana dia tidak boleh menerima tekanan.
Tambahan pula Selena pernah dimasukkan ke pusat pemulihan sebelum ini juga dikatakan berpunca daripada Justin.
Ramai yang berharap agar Selena dan Justin berfikir lebih jauh mengenai status hubungan mereka kerana hakikatnya, kedua-dua mereka tidak boleh bersama.