The Alif Mahu Bina Empayar Sendiri



“Kami nak jadi legend dan mahu jadi kumpulan muzik yang ada revolusi sendiri,” ujar anggota kumpulan The Alif mengulas mengenai misi mereka dalam mencipta nama di arena muzik arus perdana.

The Alif merupakan sebuah kumpulan gitar rancak yang dianggotai oleh empat jejaka iaitu Aliff Hassan selaku vokalis dan gitaris, Meor Anderson (gitaris), Khubaib (pemain bass) dan Shah Zenals (pemain drum).

Mula ditubuhkan pada tahun 2010 dengan memperjuangkan muzik new wave, rock dan brit pop, The Alif menjadikan kumpulan The Beatles, Oasis, Coldplay, Radiohead dan Pheonix sebagai inpirasi mereka dalam menghasilkan lagu. Menafikan mereka meniru gaya muzik band yang sedia ada, The Alif mengakui mereka mempunyai identiti tersendiri dalam membina empayar seni mereka.

“Tidak ada isu tiru-meniru di sini kerana kami hanya menjadikan band tersebut sebagai inspirasi kami sahaja. Kumpulan kami mempunyai kelainan dan identiti tersendiri di mana kami memberi suntikan kemelayuan dalam karya kami,” tutur Aliff mewakili anggota lain ketika ditemui pada majlis memperkenalkan The Alif serta pelancaran single terbaru mereka ‘Satu Nyawa’ di Neway Karaoke One Utama, baru-baru ini.

Setelah hampir empat tahun bertapak secara indie, The Alif kini merupakan artis di bawah syarikat rakaman, Riwayat Records apabila mereka menandatangani kontrak bersama syarikat tersebut pada Oktober 2013.



Menyentuh mengenai single terbaru mereka, The Alif memberitahu lagu ‘Satu Nyawa’ merupakan karya ciptaan sepenuhnya dari pada kumpulan mereka sendiri selepas berjaya dengan karya-karya terdahulu seperti ‘Sesuatu’, ‘Kutu Rayau’, ‘Empayar Caliphso’ dan ‘Hujan Di Jendela’.






“Satu Nyawa merupakan pertaruhan terbaru kami di mana ia merupakan lagu cinta pertama ciptaan saya. Lagu ini bukan hanya mengenai cinta kepada kekasih sahaja, tapi saya kembangkan lagi mesej lagu ini dengan cinta terhadap ibu bapa dan juga keluarga,” ujar Aliff lagi.

Berdasarkan kekuatan ‘Satu Nyawa’, The Alif kini dipilih menjadi artis tempatan pertama rakan kerja Tonton Music. Hasil kolaborasi The Alif dan Tonton Music, single ‘Satu Nyawa’ kini boleh didapati secara penstriman audio di www.tontonmusic.com.my.

Selain itu, lagu tersebut juga telah dipilih untuk menjadi runut bunyi bagi sebuah drama di bulan Ramadhan ini. Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan muzik The Alif, anda boleh layari Facebook ‘THE ALIF’ serta Twitter dan Instagram mereka ‘empayarthealif’.
Previous Post Next Post