Transformers - Age of Extinction (2014)



Francais filem yang sangat dinantikan oleh penggemar dan pengikut sekuel Transformers pastinya tidak sabar menantikan kemunculan siri keempat filem hebat arahan Michael Bay pada tahun ini.



Tampil dengan barisan pelakon yang berbeza, ‘Transformers: Age of Extinction’ dihasilkan bukan hanya untuk menonjolkan teknologi 3D Hollywood yang kita sedia maklum kehebatannya semata-mata.

Filem ini digarap dengan nilai kemanusiaan, kekeluargaan serta unsur kepercayaan yang saban hari seperti semakin hilang nilainya di dalam diri manusia sejagat.

Kisah bermula empat tahun selepas peperangan yang tercetus antara Autobots dan Decepticon yang telah meranapkan sebahagian kota Chicago. Kemelut yang turut melibatkan kerjasama antara manusia dan Autobots ketika itu telah berjaya menyelamatkan bumi daripada kerakusan Decepticon yang bercita-cita untuk menakluk bumi.

Selepas itu, manusia sudah tidak lagi mempercayai dan mengiktiraf sebarang kerjasama dengan Transformers walaupun dengan Autobots, diketuai oleh Optimus Prime yang sebelum ini telah banyak berkorban semata-mata untuk memastikan manusia dapat terus hidup di muka bumi ini.

Sebuah agensi kerajaan yang diketuai oleh Harold Attinger telah diarahkan untuk memusnahkan semua Transformers termasuk Autobots juga Decepticon, menyebabkan Optimus Prime serta saki baki pengikutnya lari menyembunyikan diri sebelum dimusnahkan oleh pengikut Attinger.
Cade Yeager, lakonan Mark Wahlberg adalah seorang mekanik yang bercita-cita untuk menjadi seorang pencipta, pada suatu hari telah membeli Prime daripada salah seorang pelanggannya.

Prime yang pada ketika itu dalam bentuk sebuah kepala trak yang buruk dibeli Cade semata-mata untuk mendapatkan alat gantinya bagi menyara yuran kemasukan universiti anak perempuannya Tessa, lakonan Nicola Peltz.

Ketika Cade sedang sibuk bekerja dengan kepala trak berkenaan, secara tidak sengaja Prime telah dikejutkan dan aktiviti Cade yang cuba untuk membantu membaik pulih Prime telah berjaya dikesan oleh Attinger. Maka ketika itulah saki baki Autobots yang masih hidup berjaya dikumpulkan oleh Prime termasuk Bumble Bee.

Sebenarnya, di sebalik operasi memburu dan memusnahkan Transformers yang diketuai oleh Attinger, ada dalang yang menaja pemburuan tersebut bagi tujuan membuat keuntungan dengan membina Galvatron, yang terhasil dari serpihan Megatron.

Manakala Attinger sendiri turut mendapat bantuan ‘Lockdown’, sebuah robot alien yang mempunyai agenda utama untuk mendapatkan Prime bagi kepentingan peribadi.

Kini Autobots terpaksa berhadapan dengan dua puak musuh dalam masa yang sama, masih lagi mempunyai hati untuk menyelamatkan bumi daripada hasil kerakusan manusia sendiri.






Jalan cerita yang padat dan menarik ini pasti akan membuatkan penggemar siri Transformers begitu teruja dengan setiap aksi yang dipaparkan. Bertambah menarik apabila penulis skrip cuba mengetengahkan misteri di sebalik kewujudan ‘The Creator’.

Secara keseluruhan, tidak keterlaluan jika dikatakan ‘Transformers: Age of Extinction’ adalah sebuah karya yang lebih memuaskan berbanding siri Transformers yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Tambah mengujakan jika filem ini ditonton dalam versi 3D kerana ia pasti memberi kepuasan maksima kepada mereka yang menonton. Jadi tunggu apa lagi, jangan lepaskan peluang menonton filem ‘Transformers: Age of Extinction’ yang bakal menggegarkan pawagam bermula 26 Jun 2014.
Previous Post Next Post