Anzalna berhasrat tubuh yayasan



ANZALNA sudah bersedia untuk bergelar isteri.

DI sebalik wajah cantiknya, terselit satu nilai yang patut dicontohi oleh semua masyarakat. Walaupun sibuk menjalani kariernya sebagai seorang pelakon, Nur Anzalna Nasir, 26, atau lebih mesra disapa Anzalna sanggup mengosongkan jadualnya bagi memberi ruang membantu golongan yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan ini.

Mempunyai jiwa yang mudah tersentuh, terutamanya apabila melihat kanak-kanak kecil yang terpaksa berjuang melawan penyakit kanser, ia sedikit sebanyak menjadikan dia lebih berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan tersebut.

Cerita Anzalna Nasir, perasaan peduli itu timbul selepas dia menyaksikan sendiri penderitaan kanak-kanak yang menderita kanser lebih kurang lima tahun lalu sewaktu membuat kunjungan ke bahagian rawatan kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Melihat penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak kecil itu membuatkan Anzalna mengalirkan air mata dan tidak tidur malam.






Terkesan dengan situasi tersebut, pelakon yang pernah membintangi drama Adam dan Hawa itu telah menanam tekad untuk membantu golongan ini merasai kebahagiaan dengan sedikit pertolongan yang termampu daripadanya.

Bermula secara kecil-kecilan dan menggunakan wang hasil daripada titik peluhnya sendiri untuk melakukan amal kebajikan, kini Anzalna mampu berbangga apabila dia bersama enam peminat yang bernaung bawah kelab peminatnya, Anzalna Fan Club membantu sama meringankan beban.

Tidak mempunyai niat untuk menunjuk-nunjuk, Anzalna bagaimanapun berkata, dia tidak selesa untuk memberitahu kepada media mengenai amal kebajikan yang dilakukan kerana bimbang disalah tafsir dan menimbulkan riak.

Bagaimanapun, dari satu sisi, dia melihat arah yang positif untuk meminta bantuan tajaan daripada mana-mana pihak yang berminat bagi sama-sama melakukan kebajikan ini.

“Dahulu saya menggunakan wang hasil daripada titik peluh saya bagi membantu golongan ini. Antara barangan yang didermakan termasuk pakaian, makanan asas dan permainan untuk kanak-kanak tidak bernasib baik.


ANZALNA teruja untuk membuat amal sepanjang bulan Ramadan ini.

Walaupun ia tidaklah sebesar mana, namun saya gembira kerana dapat menolong insan yang memerlukan sebaik mungkin.

“Kini, Alhamdulillah saya bersyukur kerana kerjasama daripada pelbagai pihak dalam membantu usaha ini. Bagi saya, jika perkara ini didedahkan kepada orang ramai, mungkin ada yang mahu untuk tampil memberi kerjasama.

“Jika ada yang berminat untuk sama meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada golongan ini, boleh bergabung dengan kami,” ujarnya ketika ditemui pada kempen Seindah Ramadan di ibu pejabat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain menghulurkan bantuan, pelakon ini mempunyai misi yang lebih besar pada masa hadapan. Anzalna berhasrat untuk menubuhkan yayasan sendiri bagi membantu meringankan beban mereka.

Katanya: “Saya juga berharap jika berpeluang kelak, saya berhasrat untuk menubuhkan sebuah yayasan dan perlindungan kepada kanak-kanak ini bagi membantu mereka melawan penyakit maut ini.”

Di samping sibuk dengan aktiviti kebajikan, Anzalna juga kini terlibat dengan sebuah lagi program amal Seindah Ramadan sebagai usaha membantu golongan yang tidak bernasib baik termasuk warga emas dengan lebih intensif.

Tambah Anzalna, dia kini dalam rangka lawatan bersama kempen Seindah Ramadan turun padang ke Melaka, Perak dan Kuala Lumpur bagi memperluaskan kempen sepanjang bulan ramadan ini.

“Setakat ini, kami bercadang untuk pergi ke tiga buah negeri ini untuk kempen bagi membantu golongan yang memerlukan. Saya sebagai duta perlu memberikan yang terbaik supaya kempen ini dapat berjalan dengan lancar.

“Kempen ini dijalankan sepanjang bulan ramadan ini dan saya berharap ia mampu membawa sinar baharu kepada golongan ini dan mampu menggembirakan mereka walaupun seketika,” ujarnya.

Beraya di London

Bercerita mengenai pengalaman pelakon genit ini berpuasa pada tahun ini, Anzalna mengakui tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar baginya. Ini kerana dia kini tinggal seorang diri di Malaysia selepas ibunya mengikut ayahnya berpindah ke London atas urusan kerja.

“Tahun ini merupakan tahun pertama saya sambut Ramadan dengan ketiadaan kedua ibu bapa saya yang berpindah ke London, September tahun lepas berikutan ayah saya bekerja di sana.

“Bagaimanapun, saya terpaksa kuatkan semangat untuk menghabiskan Ramadan kali ini. Walaupun agak sukar untuk bangun pada waktu sahur tetapi ia menjadi satu cabaran untuk saya. Saya juga tidak risau kerana teman lelaki saya menjadi teman saya untuk berbuka puasa,” ujarnya berseloroh.


ANZALNA tidak ketinggalan bergambar dengan pihak media sempena kempen Seindah Ramadan yang berlangsung di ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditebak dengan soalan perancangannya pada hari raya ini, pelakon yang pernah membintangi filem Sepahtu The Movie itu berkata, dia akan berangkat ke London sehari sebelum raya untuk menyambut hari bermakna tersebut bersama keluarganya.

“Memandangkan saya sibuk di Malaysia sepanjang bulan Ramadan ini, saya terpaksa mengambil keputusan untuk pergi ke kota London sehari sebelum raya.

“Saya akan berada di sana selama tiga minggu. Selain beraya bersama ibu bapa dan kakak saya di sana, saya juga mengambil peluang ini untuk bercuti dan menenangkan fikiran di sana,” ujarnya.

Kahwin tahun depan

Mengulas lanjut mengenai teman lelakinya yang dikenali sebagai Hanif Zaki, Anzalna berkata, dia dan kekasihnya itu kini telah menjalinkan hubungan serius dan dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.

“Insya-Allah, saya tidak mahu berselindung, jika ada rezeki kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.

“Sepatutnya ia berlangsung pada tahun ini, namun terpaksa dianjakkan ke tahun hadapan disebabkan komitmen masing-masing terhadap kerjaya,” kata gadis kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Anzalna kini meluangkan sepenuh masanya untuk melakukan kegiatan amal.

Namun demikian, sebaik Ramadan berakhir dia telah bersedia untuk menjalani sebuah drama terbitan Global Station Sdn. Bhd.

“Drama 148 episod itu akan dilakonkan bersama pelakon yang berasal dari Singapura, Hisyam Hamid dan ia akan ditayangkan di negara asing iaitu Mexico.

“Sebenarnya drama tersebut hanyalah 120 episod, namun saya dimaklumkan pula ada tambahan episod. Walaupun ada penambahan episod tersebut, saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan momentum lakonan.

“Bagaimanapun, saya masih belum boleh nyatakan secara terperinci kerana saya masih belum menandatangani kontrak secara rasmi dengan pihak produksi.

“Selain itu, saya juga ada menerima beberapa tawaran telemovie dan Alhamdulillah, tawaran yang diterima kini tidak putus dan saya menganggap ia merupakan rezeki saya,” ujarnya.
Previous Post Next Post