SUDAH lama niat di hatinya untuk berhijab, namun pada tahun ini impian tersebut menjadi kenyataan. Mengakui lebih tenang selepas mengenakan hijab, figura ini meluahkan rasa kesediaan- nya dan menolak berhijab disebabkan paksaan oleh mana-mana pihak.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai perubahannya itu, figura yang telah menapak dalam industri seni sejak 22 tahun lalu itu meluahkan perubahannya disebabkan oleh keinginannya sendiri.
"Saya rasa kini saya telah bersedia untuk berhijab. Seakan-akan magis, saya tidak pernah berasa tertekan, malah bagaikan tidak sem- purna apabila tidak mengenakan hijab ketika keluar dari rumah.
"Walaupun baru sebulan berhijrah, saya kini lebih berasa lebih tenang dan dihormati. Malah, terbit satu perasaan yang tidak digambarkan dengan kata-kata apabila peminat meluahkan perasaan bahawa doa mereka untuk melihat saya berhijab termakbul," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Safi Rania Diamond di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditebak dengan soalan sebab dia mengambil masa lama untuk mengenakan hijab, penyanyi yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu berkata, dia tidak mahu hiporkrit dan memakai hijab untuk tujuan tertentu.
"Jika diimbas kembali keinginan untuk mengenakan hijab, saya rasa sudah mula terdetik di hati saya lima tahun lepas untuk mengenakan hijab, namun saya tidak mahu melakukannya tanpa keikhlasan saya sendiri.
"Saya tidak mahu perubahan ini menjadi sesuatu yang sia-sia kerana saya mahu melakukan sesuatu perubahan dengan bersungguh-sungguh," ujarnya yang mengakui anaknya Adam merupakan insan yang paling gembira apabila dia mengambil keputusan tersebut.
Dikenali sebagai seorang ikon fesyen, Ziana tidak pernah menyekat keinginannya untuk bergaya disebabkan kekangan bertudung. Baginya seorang aktres itu menjadi contoh kepada peminat-peminatnya.
ZIANA turut prihatin terhadap rakan baiknya, Awie yang kini terbabit dengan kes dakwaan memukul isterinya, Rozana.
"Walaupun masih baru berhijab, saya banyak membuat kajian mengenai trend-trend terkini bertudung dan saya tidak suka seorang aktres itu kelihatan kurang menyerlah walaupun bertudung. Selain itu, penggayaan mestilah sesuai mengikut peredaran semasa kerana saya tidak risau kerana tudung menjadi salah satu fesyen terkini zaman sekarang," ujarnya.
Bercerita mengenai penghijrahannya dengan karier seninya Ziana berkata, dia akan tetap menjalani karier seninya seperti biasa dan tidak pernah membataskan walaupun telah berhijab.
"Saya masih Ziana Zain yang dahulu. Cuma saya kini tampil dengan pemakaian yang sopan. Selepas ini, saya perlu juga lihat kesesuaian tempat persembahan atau acara agar ia bersesuaian dengan imej saya.
"Karier seni merupakan darah daging saya, saya akan terus berjalan seperti biasa dan akan tetap memenuhi jemputan nyanyian oleh mana-mana pihak," ujarnya.
Duta produk
Kecemerlangannya dalam perjalanan kariernya dan keluarga telah menyebabkan dirinya sering menjadi rebutan produk-produk kecantikan untuk menjadikannya duta bagi produk mereka.
Baru-baru ini, Ziana Zain telah diterima untuk menjadi duta produk bagi rangkaian kecantikan Safi Rania Diamond. Sesuai dengan usianya yang meningkat matang, namun masih mampu mengekalkan kecantikan, Ziana dilihat sebagai ikon yang sangat sesuai dijadikan duta produk tersebut.
Bercerita panjang mengenai produk dan perubahannya berhijab, Ziana berkata, pihak syarikat produk tersebut tidak mempunyai masalah untuk menerimanya setelah dia bertudung.
PELANTUN lagu popular, Madah Berhelah ini sekarang mempunyai tanggungjawab baharu sebagai duta produk kecantikan Safi Rania Diamond.
"Alhamduillah, pihak mereka menghormati keputusan saya bertudung dan saya sangat bersyukur penghijrahan saya tidak menjadi batu penghalang kepada saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang saya," ujarnya
Tambah Ziana, dia tidak pernah khuatir sekiranya berhijab akan menyebabkan pintu rezekinya tertutup. Baginya rezeki merupakan hak Allah untuk menentukan segalanya.
"Saya berserah kepada Allah, jika rezeki saya telah ditetapkan. saya reda dengan ketentuannya. Saya tidak pernah terfikir jika berhijab akan menyebabkan rezeki saya terhalang," jelasnya.
MH17
Ditebak dengan soalan mengenai tragedi ngeri yang menimpa pesawat MH17 yang terhempas baru-baru ini, Ziana yang pernah berkhidmat sebagai pramugari dengan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sekitar penghujung tahun 80-an terkejut mendengar berita kejadian yang diratapi seluruh dunia itu.
Dia yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pramugara, Armin Zaharin yang dikenali ketika bertugas pada 1998 lalu sangat terkejut kerana kebanya- kan kru merupakan rakan kepada suami- nya.
"Saya tidak sangka perkara ini berlaku kerana sebelum ini suami saya dan beberapa mangsa sering berhubung dengan bertanya khabar melalui Whats- app.
"Pemergian mereka merupakan kehilangan besar buat kami, namun kita perlu reda dengan ketentuan Illahi jika ditetapkan maut dalam keadaan sebegitu kita hanya mampu menerimanya," kata- nya.
Dalam pada itu, Ziana menasihatkan orang ramai supaya menghentikan segala spekulasi selagi berita tersebut belum benar-benar disahkan.
"Apabila timbulnya spekulasi yang tidak mempunyai kesahihan, ia akan menimbulkan salah faham sehingga menyebabkan perbalahan, Justeru, saya hanya ingin menasihati orang ramai agar berdoa supaya roh mereka dicucuri rahmat," tuturnya.
Awie
Dalam pada itu sebagai rakan artis kepada Awie serta pernah bergandingan dalam beberapa buah filem termasuk Sembilu, Ziana tidak ketinggalan mengulas tentang kes yang berlaku antara penyanyi rock tersohor itu dengan isterinya, Rozana Misbun.
Ketika ditanya mengenai kes rakan baiknya itu yang didakwa memukul Rozana, Ziana menegaskan, dia berharap agar hubungan pasangan suami isteri tersebut pulih seperti biasa.
"Saya enggan komen dengan lebih lanjut mengenai hal tersebut kerana saya tidak berada di posisi sebenar mereka. Namun, sebagai rakan baik saya berharap hubungan mereka akan kembali terjalin.
"Saya juga sentiasa doakan yang terbaik untuk Awie dan berharap mereka melupakan perkara yang lepas dan cuba membina kehidupan baharu," ujarnya.
Tambah Ziana: "Mereka juga telah mempunyai anak, justeru saya berharap mereka boleh berbaik seperti pepatah ada mengatakan, buang yang keruh ambil yang jernih."