Cabaran puasa Jonathan



JONATHAN yang merupakan penganut agama Buddha seronok dapat berpuasa selama sebulan.

MELALUI kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat Melayu sejak kembali ke Malaysia pada tahun 2005, sedikit sebanyak telah mempengaruhi cara hidup pelakon Jonathan Putra.

Menurutnya yang pernah menetap dan membesar di Chicago, Amerika Syarikat sebelum ini, antara yang banyak dipelajarinya termasuklah berpuasa yang menjadi amalan umat Islam setiap tahun apabila menyambut bulan Ramadan.

Jonathan, 32, berkata, biarpun dia dan keluarganya mengamalkan ajaran Buddha, tetapi dia tertarik setelah melihat sendiri amalan yang dilakukan oleh sebilangan rakannya yang terdiri daripada orang Melayu.

Ketika ditemui pada acara Jalan-Jalan Minum Kopi Malaysia yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon berdarah kacukan Cina dan India itu mendedahkan bahawa dia juga pernah mencuba untuk belajar berpuasa setelah didorong oleh rakan-rakannya.

Kosmo!: Dikelilingi rakan-rakan Melayu yang beragama Islam, adakah Jonathan pernah cuba untuk berpuasa?

JONATHAN: Pada tahun pertama kembali ke Malaysia, saya melihat ada rakan yang tidak makan dan minum pada siang hari kerana berpuasa. Kemudian, saya terus bertanya mereka mengenai amalan yang dilakukan. Saya telah diberikan penjelasan tentang amalan puasa itu sehingga ada pula yang bertanya kalau-kalau saya berminat untuk mencubanya. Akhirnya, saya menyatakan minat dan bersetuju untuk turut berpuasa.

Apakah cabaran yang anda dapat alami sepanjang berpuasa?

Sudah tentu menahan dahaga dan lapar itu merupakan cabaran yang paling getir. Kalau tidak makan dan menahan lapar itu boleh lagi saya hadapi, tetapi menahan dahaga itu memang cukup mencabar buat diri saya. Pada tahun pertama belajar puasa, saya cuma mampu berpuasa separuh hari sahaja. Bagaimanapun, pada tahun berikutnya saya telah berjaya berpuasa penuh sepanjang hari selama sebulan.

Apakah pandangan anda terhadap amalan puasa?

Sebenarnya, saya cukup kagum dengan mereka yang melaksanakannya dan sebagai individu bukan Islam, saya akan menghormati rakan-rakan yang sedang berpuasa dengan tidak makan di hadapan mereka.

Apakah perkara yang paling anda gemar setiap kali tiba bulan Ramadan?

Perkara yang paling digemari ialah dapat pergi ke bazar Ramadan dan membeli pelbagai juadah yang dijual oleh peniaga di situ. Antara juadah yang wajib saya beli setiap kali ke bazar Ramadan ialah ayam percik, martabak dan karipap.

Setelah menetap di Malaysia selama 10 tahun, bagaimanakah dengan kehidupan anda sekarang?

Saya gembira kerana dapat kembali ke negara asal ibu bapa saya sekarang, manakala kerjaya lakonan pula semakin berkembang. Selepas berlakon dalam drama bersiri Ariana Rose, tawaran lakonan yang diterima semakin banyak. Namun begitu, buat masa ini saya mahu lebih fasih bertutur bahasa Melayu agar memudahkan lagi kerjaya lakonan saya ini. Selama ini saya tidak menghadiri mana-mana kelas khas, sebaliknya lebih banyak belajar dengan orang sekeliling seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.

Adakah anda pernah melalui sebarang pengalaman yang melucukan sepanjang berada di negara sendiri?

Salah satu pengalaman paling lucu yang pernah dilalui ketika saya singgah di sebuah kedai untuk membeli barang. Kemudian pekerja di kedai tersebut meletakkan harga yang mahal kerana menyangka saya seorang pelancong. Apabila saya memberitahu mereka yang saya ini seorang warganegara Malaysia dan mampu bertutur dalam bahasa Melayu, barulah mereka berasa sangat terkejut kerana menyangka saya pelancong berdasarkan raut wajah ini.




Previous Post Next Post