Gandingan Awie & Era Bukan Maksud Ambil Kesempatan


Awie dan Erra bakal bergandingan semula sebagai pasangan kekasih menerusi filem Warna Cinta Impian.

Syarikat produksi baharu TouchTronic Entertainment menegaskan pemilihan Awie dan Erra Fazira sebagai pelakon utama filem sulung mereka iaitu Warna Cinta Impian bukan kerana kontroversi yang timbul terhadap dua selebriti tersebut.

Penerbitnya, G. Ravindren berkata, pemilihan bintang itu lebih kepada keserasian mereka yang pernah membintangi filem bersama sekitar tahun 1990-an dan percaya ramai peminat menantikan kemunculan gandingan mereka.

"Kami tidak pernah mengambil pusing mengenai isu-isu panas berkaitan dengan mereka lebih-lebih lagi Awie (yang kini sedang menjalani kes mahkamah berhubung isu pukul isteri).

"Pemilihan mereka berdua lebih bersikap profesional dan kami yakin peminat-peminat mahu melihat mereka bergandingan semula di layar perak," katanya.

Tambah Ravindren, dia juga menganggap walaupun Erra dan Awie sudah lama tidak beraksi bersama, keserasian antara mereka masih lagi wujud untuk melakonkan watak sepasang kekasih.


Majlis pelancaran Warna Cinta Impian yang berlangsung pada Selasa lalu di Hotel Le Meridien di sini.

Terdahulu, Erra pernah dikaitkan dengan kontroversi yang membabitkan dengan hal peribadinya apabila dikaitkan dengan aktor Ammar Baharin dan baru-baru ini, bekas suaminya, Engku Zainal Abidin pula ingin rujuk semula.

Awie pula dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Filem yang bakal memulakan penggambaran pada Ogos depan turut melibatkan pelakon-pelakon popular seperti Azlee Khairi, Nelydia Senrose, Shiqin Kamal dan Erwin Shah Dawson.

Dalam pada itu pengarahnya, N.S Krishna berkata, dengan pengalamannya lebih 15 tahun di bidang seni kreatif, dia yakin karyanya itu mampu menarik perhatian masyarakat tempatan yang semakin kurang menonton filem-filem tempatan.

"Sebelum ini saya bersama pihak penerbit mencari formula sesuai bagaimana mahu menarik masyarakat kita menonton filem tempatan.

"Kerana itu kami menggunakan konsep memilih artis-artis popular dan hebat bakatnya selain memainkan elemen Bollywood dalam filem ini.

"Paparan kisah kehidupan pelbagai kaum di negara ini, mampu menarik perhatian pasaran serantau dan antarabangsa," ujarnya.

Filem mengenai kisah masalah cinta daripada empat pasangan berbeza itu bakal memulakan pengambaran pada Ogos depan di sekitar Kuala Lumpur, Brisbane, Australia dan Jaipur, India.




Previous Post Next Post