Hasrudi Jawawi: Mesti ada suspens


Hasrudi Jawawi

DIKENALI menerusi novel pertamanya, Tangisan Berdarah, novelis kelahiran Batu Pahat, Johor ini tidak pernah menyangka niatnya yang sekadar mencuba telah meletakkan dia antara novelis popular di Malaysia.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, pada awalnya dia juga seorang peminat novel kepada kebanyakan novelis sedia ada.

"Semuanya bermula daripada membaca kemudian barulah perasaan ingin menulis itu wujud. Saya fikir mengapa tidak saya cuba, jadi saya beranikan diri untuk menghasilkan manuskrip pertama.

"Tak sangka pula, selepas diterbitkan pada tahun 2008, Tangisan Berdarah mendapat sambutan menggalakkan," kata novelis yang dikenali sebagai Hasrudi Jawawi ini.

Menurut Hasrudi, rentetan kejayaan novel pertamanya itu, semakin banyak idea yang lahir untuk dikongsi bersama peminat novel.

"Walaupun ilham datang mencurah, tetapi bukan mudah untuk mengolah dan mengarang jalan cerita yang mantap.

"Adakala bila mood tidak datang, ia turut mengambil masa lama untuk menghasilkan sesebuah novel itu," katanya.

Akui pemilik karya Cucur Bawang & Kopi O ini, dia lebih selesa menghasilkan novel yang mengangkat genre suspens.

"Konsep ini telah diterap daripada awal, tidak kira ia novel seram, thriller atau cinta, ia masih ada unsur suspens.

"Bagi saya elemen ini perlu ada supaya pembaca tidak bosan dan tertanya-tanya apakah yang sedang terjadi.

"Daripada situlah mereka tidak sabar hendak mengetahui kesudahan novel tersebut," katanya dan memberitahu itu antara perbezaan karyanya berbanding novelis lain.






Tidak pernah puas

Walaupun telah menghasilkan lebih 10 karya seperti Cinta Awek dan Pakwe, Dia Bukan Nabi serta Aku Bukan Malaikat, graduan Kejuruteraan Awam dan Pengurusan Projek Landskap di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) ini masih belum berpuas hati dengan karyanya.

Malah kata Hasrudi, semakin lama dalam bidang ini semakin sukar mencari sebuah karya yang unik dan tidak klise.

"Pelbagai jenis genre novel boleh didapati di pasaran kini. Sehinggakan, novelis juga tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

"Tanpa karya yang bermutu, pasti novel kita jauh ketinggalan, kerana itu saya perlu mencari sesuatu yang segar untuk dipersembahkan kepada pembaca masa kini," katanya kehadiran ramai novelis mewujudkan persaingan sihat antara mereka.

Bicara anak muda ini, rata-rata novelnya ditulis daripada pelbagai sumber inspirasi.

"Adakala ia muncul daripada drama televisyen, gelagat manusia di sekeliling saya dan daripada pengalaman kawan serta pembaca.

"Kemudian, barulah saya selitkan dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan untuk memvariasikan karya tersebut.

"Bagi saya, kedua elemen ini perlu ada ada dalam sesebuah novel supaya jalan cerita lebih realistik," katanya novelis berusia 28 tahun ini.

Kenangan manis bersama peminat

Adat bergelar novelis pasti ada kenangan manis dan pahit yang terpaksa ditempuhi. Namun bagi Hasrudi, dia lebih gemar berkongsi kenangan manis sepanjang melibatkan diri dalam bidang ini.

Akuinya, perbezaan masa dahulu dan kini meletakkan novelis antara kerjaya yang tersohor di era ini.

"Jika dahulu antara penulis dan pembaca seperti mempunyai satu benteng tetapi tidak hari ini. Penulis dan pembaca sentiasa memerlukan antara satu sama lain.

"Tanpa pembaca, penulis tidak mampu berdiri di mana mereka berada kini, begitu juga sebaliknya, tanpa penulis, pembaca pasti dahagakan karya-karya terkini untuk menjadi bahan bacaan mereka," katanya.

Kerana itu, dia tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai program atau karnival yang dianjurkan semata-mata untuk bertemu peminatnya.

"Kenangan manis saya sepanjang bergelar penulis apabila saya dapat bertemu dengan pembaca-pembaca karya saya.

"Ketika itu, saya dapat mengenali mereka lebih rapat lagi. Lagipun, mereka juga turut menyumbang kepada kejayaan saya selama ini," ujarnya dan menasihati penulis baru supaya menulis kerana minat dan jangan kerana terpengaruh.

Menurutnya, menulislah apa yang anda rasa dan apa yang anda boleh hayati dan untuk dikongsi.

"Selitkanlah sedikit ilmu, pengajaran dan tauladan di dalam karya anda walaupun tidak banyak supaya pembaca dapat sesuatu yang baik dari karya anda selepas mereka habis membaca," katanya yang telah melancarkan novel terbarunya Papa Nak Menantu, April lalu.

Profil penulis

Minat Azilah Wahab terhadap bidang penulisan bermula sejak sekolah rendah lagi lantaran sering didedahkan dengan timbunan buku-buku cerita di perpustakaan sekolah.

Selain menanam cita-cita untuk menjadi seorang saintis sejak kecil, Azilah juga sering berangan-angan untuk menjadi seorang novelis, penulis lirik lagu dan penulis skrip drama atau filem.

Begitu, dek pertambahan usia, novelis ini tidak pasti sama ada cita-cita atau impiannya sudah menjadi kenyataan atau ia masih berlegar-legar di ruang fantasi. Azilah juga telah berkahwin dengan askar, Saiful Azniza Shahidin dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Irfan Akid, Muhammad Arfan Afif dan Nur Athilah Damia.
Previous Post Next Post