Pelakon Irma Hasmie tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila hasratnya untuk memiliki anak perempuan telah dimakbulkan oleh tuhan.
Menurut Irma, semasa proses imbasan dilakukan, dia berasa gementar untuk mengetahui jantina anak keduanya itu.
“Sebenarnya saya agak gementar juga masa nak tahu keputusan jantina tu sebab sebelum ini pun sudah beberapa kali buat imbasan tapi masih belum nampak jantinanya.
“Bila masuk bulan keenam barulah doktor dapat pastikan… Sebaik sahaja dapat tahu bahawa bayi kedua saya adalah anak perempuan, waktu itu perasaan saya hanya tuhan sahaja yang tahu.
“Saya sebenarnya dah lama impikan anak perempuan dan rasa syukur sangat kerana doa saya telah dimakbulkan tuhan,” katanya ketika ditemui Astro Gempak pada satu majlis.
Tambah Irma lagi, untuk kandungan kali ini dia pula terlebih teruja berbanding suaminya, Redza Syah Azmeer.
“Kalau dahulu semasa saya mengandungkan Irfhan, suami saya yang lebih teruja sampai saya pun tergelak tengok gelagatnya.
“Tapi kali ini terbalik, saya yang teruja lebih berbanding suami… Saya gembira sebab saya pun dah ada ‘geng’ macam dia,” katanya ketawa.
Selain itu, Irma juga memberitahu kondisinya semasa mengandungkan anak kedua ini agak berbeza berbanding yang pertama.
“Untuk yang kedua ini saya tidak mengalami alahan yang teruk sampai saya pun naik hairan… Sewaktu mengandungankan Irfhan dulu, awal-awal lagi dah kena alahan.
“Cuma kali ini saya cepat letih dan menyebabkan pergerakkan saya jadi perlahan namun ia tidaklah sampai menjejaskan kerja saya,” ujarnya
Di samping itu, aktres berusia 32 tahun itu memberitahu suaminya juga sering bercerita kepada Irfhan mengenai adiknya yang bakal lahir tidak lama lagi.
Irma atau nama sebenarnya Irma Hasmie Ibrahim dijangka melahirkan anak keduanya pada 18 Julai ini.