Irma Hasmie teruja timang anak kedua


Irma selamat melahirkan puteri sulung pasangan itu di Prince Court Medical Centre.

PELAKON dan pengacara cantik, Irma Hasmie melahirkan rasa syukur selepas memiliki sepasang cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan suami, Redza Syah Azmeer.

Irma, Sabtu lalu selamat melahirkan cahaya mata kedua yang juga puteri sulung pasangan itu di Prince Court Medical Centre.

"Alhamdulillah, syukur dengan anugerah ALLAH SWT, seorang lagi amanah besar yang ALLAH SWT hadiahkan," ujarnya yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Irma, kelahiran kedua ini lebih mudah apatah lagi sejak awal dia tidak mengalami alahan teruk seperti kelahiran anak pertamanya, Redza Syah Irfhan, setahun.

"Pengalaman yang kedua ini, rasa lebih mudah sebab saya dah berpengalaman dengan anak pertama. Bahkan saya rasa lebih bersedia termasuk dalam membuat persiapan serta proses penjagaan diri dan anak," katanya yang belum bersedia
mengumumkan nama anak kedua ini.

Irma berkata, dia kini berpantang di rumah ibunya di Sungai Buloh dan akan turut berhari raya bersama keluarganya tahun ini.

Berkongsi penerimaan Irfhan, Irma berkata, anak sulungnya itu cukup teruja dengan kehadiran orang baharu, biarpun masih kecil.

"Alhamdulillah, dia menunjukkan reaksi yang cukup positif dan setiap kali melihat adiknya, dia cukup teruja," katanya yang akan kembali bekerja sebaik habis tempoh berpantang.

Redza sebelum ini menerusi akaun Instagram miliknya berkongsi khabar gembira kelahiran anak keduanya itu.

Dia juga sempat berkongsi gambar kedua anaknya itu dengan kapsyen : "Assalammualaikum... Segala puji hanya untuk ALLAH SWT...Selamat datang ke dunia ni sayang, ikrar kami untuk menjaga dan bertanggungjawab ke atas dirimu sebagai hadiah yang tidak ternilai dari ALLAH... jadilah anak yang solehah itu harapan kami...Daddy, Mommy @irmahasmie & abang #redzasyahirfhan love you for the sake of ALLAH SWT...Lillahitaala."




Previous Post Next Post