Kini Channing Tatum cipta nama di layar perak



PENYERTAAN aktor kacak, Channing Tatum dalam dunia hiburan bermula sejak dipilih sebagai penari dalam klip video Ricky Martin, She Bangs.

Sejak itu, pemilik nama penuh Channing Matthew Tatum mula aktif bekerja sebagai model sebelum berlakon dalam filem Coach Carter bersama Samuel L Jackson pada 2005.

Sebagai pelakon yang masih kurang dikenali, beberapa filem lakonannya seperti Step Up (2006), She’s the Man (2006) dan Step Up 2: The Streets (2008), telah berjaya mengkomersialkan namanya.

Begitu pun, tuahnya dalam dunia perfileman Hollywood adalah ketika dia membintangi G I Joe: The Rise of Cobra pada 2009.

Masakan tidak, filem adaptasi daripada francais permainan, G I Joe: A Real American Hero dengan bajet AS$170 juta (RM593 juta) itu telah membantu melonjakkan nama Tatum ke satu tahap yang lebih tinggi.






"Filem itu bukanlah karya perang yang dibesar-besarkan, sebaliknya cerita itu lebih menjurus kepada genre aksi sains fiksyen thriller," katanya.

Sedikit mengenai sisi peribadinya. Aktor berusia 34 tahun itu bukan saja pernah bekerja sebagai buruh binaan, ejen perumahan, jurujual dan bekerja di kedai haiwan peliharaan, bahkan Tatum juga pernah bekerja sebagai penari bogel di Florida.

Dia membuat persembahan empat kali seminggu dan membawa pulang AS$100 hingga AS$150 setiap malam. Membawa gelaran Chan Crawford, kisah Tatum sebagai penari bogel turut diadaptasikan oleh Steven Soderbergh melalui filem Magic Mike (2012).

Filem-filem lain lakonan Tatum adalah seperti Dear John (2010), The Eagle (2011), The Vow (2012), White House Down (2013), G I Joe: Retaliation (2013) dan Side Effects (2013).

Selain itu, bapa anak satu ini juga seorang yang aktif bersukan seperti sukan bola sepak, ragbi dan seni mempertahankan diri.

Bergelar penerbit

Tidak hanya menjadi pelakon, Tatum juga bergelar penerbit sekali lagi untuk filem terbarunya.

Biarpun filem itu masih lagi belum diberi judul, namun Tatum memberitahu, ia berkonsepkan aksi-jenayah.

Malah, filem itu juga sudah mempunyai lokasi pilihan untuk menjalani penggambaran.

Khabarnya, filem terbitan Tatum itu adalah daripada kisah benar dan mengambil latar belakang tahun 1970-an.

Ia menceritakan kisah lelaki biasa yang mengambil risiko dengan menyamar untuk menjatuhkan kumpulan mafia terbesar di sebuah negara.

Sebagi penerbit, Tatum turut mengajak rakannya yang juga penerbit, Reid Carolin dan Kristin Gore sebagai penulis naskhah.

Sebelum ini, Tatum pernah menjadi penerbit dalam tiga filem lakonannya iaitu Earth Made of Glass (2010), 21 Jump Street (2012) dan Magic Mike (2012).

Kembali menyamar

Selepas membintangi 21 Jump Street yang diadaptasi daripada siri televisyen pada 1987, Tatum dan Jonah Hill kembali bergandingan menerusi filem sekuelnya, 22 Jump Street.

Dua tahun selepas kejayaan menerusi program 21 Jump Street, pegawai polis Morton Schmidt (Hill) dan Greg Jenko (Tatum) kembali menyamar sebagai pelajar bagi membanteras gejala pengedaran dadah.

Masih lagi diarahkan oleh Phil Lord dan Christopher Miller, filem ini turut dibintangi oleh Ice Cube, Peter Stormare, Amber Stevens, Wyatt Russell, Jillian Bell, Nick Offerman, Dave Franco dan ramai lagi.

Jika dalam 21 Jump Street, personaliti lain seperti Johnny Depp dan Holly Robinson Peete pernah tampil sebagai cameo.

Kali ini, melalui sekuelnya, 22 Jump Street, penonton pasti teruja dengan kemunculan ramai bintang ternama termasuk kemunculan khas pelakon Brad Pitt.

Nantikan filem komedi ini di pawagam berdekatan anda mulai 17 Julai ini.
Previous Post Next Post