
SELEPAS enam tahun menjadi ibu tunggal, kini Nora Danish terbuka mengakui hubungan istimewanya dengan Mohamed Nedim Mohamed Nazri yang disifatkan sebagai kawan lelaki paling rapat.
Mereka juga tidak menyembunyikan kemesraan apabila seringkali memuat naik gambar-gambar di laman sosial masing-masing sehingga mendapat maklum balas peminat yang mahu mereka cepat-cepat mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun tegas Nora Danish dia tidak mahu terlalu terburu-buru.
Ini kerana pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk bergelar isteri sekali lagi.
"Kalau ditanya tentang ikatan perkahwinan, saya rasa biarlah hati kami sama-sama terbuka terlebih dahulu.
"Tidak dinafikan yang kami pernah berbincang tentang perkahwinan namun tidaklah terlalu serius. Buat masa ini perkara itu bukanlah keutamaan bagi saya sebab saya pun pernah berkahwin dan sudah ada anak.
"Lagipun keluarga saya juga tidak mendesak. Mereka hanya mahukan yang terbaik untuk diri saya... mahu saya bahagia," jelasnya.
Tidak menafikan yang keinginan untuk berkahwin lagi itu wujud namun Nora berkata setiap keputusan yang bakal diambil berhubung komitmen masa depan perlu difikirkan semasak-masaknya.
Ini kerana seboleh-bolehnya dia mahu mengelak perceraian dan tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana perkara itu amat memeritkan.
"Kami berdua berkawan pun tidak sampai setahun lagi, masih terlalu awal untuk berbincang soal kahwin. Bagi saya biarlah masa menjadi penentu dalam hubungan kami berdua ini," tambahnya.
Semakin berhati-hati
Dalam pada itu Nora mengakui semakin berhati-hati dalam berkongsi maklumat terutama gambar di laman sosial miliknya apabila sering menjadi bahan kritikan peminat sejak akhir-akhir ini.
Malah kata Nora, Nadeem turut memberi nasihat agar berhati-hati dan tidak berkongsi gambar yang hanya akan memakan dirinya sendiri.
"Banyak sangat komen negatif yang saya terima daripada pengikut laman Instagram menyebabkan Nadeem menasihatkan saya agar berfikir dulu sebelum memuat naik sesuatu gambar.
"Betul... adakalanya saya sendiri tidak terfikir dan tidak sedar dengan tindakan saya itu. Saya harap perkara baik seperti teguran dan nasihat ini terus berkekalan," jelasnya.
Mahu cantik asli
Sementara itu ketika ditanya mengenai ramai artis tempatan yang suka menggunakan kaedah kecantikan termasuk melakukan pembedahan untuk mencantikkan lagi wajah dan tubuh, Nora berkata perkara itu tidak sepatutnya dilakukan.
Ini kerana kebanyakan artis yang melakukan pembedahan kosmetik selalunya tidak mendapat keputusan yang diingini malah ada yang menjadi bertambah teruk selepas pembedahan.
"Saya akui saya tidak akan melakukan kerja gila seperti itu semata-mata untuk kelihatan cantik. Insya-Allah saya akan terus kekalkan wajah asli saya ini.
"Tidak perlu untuk mengubah-ubah wajah untuk nampak lebih cantik. Dari hujung rambut hingga hujung kaki saya ini adalah asli. Langsung tiada yang dibuat-buat dan saya syukur dengan keadaan saya sekarang," ujar Nora lagi.