SETELAH sekian lama tidak tampil dengan lagu baharu, Noraniza Idris, tampil dengan buah tangan terbaru, Kalimah Lebaran dan sekali gus mengubati kerinduan peminat terhadap penyanyi itu.
Lagu tersebut dilancarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd bersama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) sebagai pengisian Aidilfitri tahun ini dan turut memperkenalkan dua single daripada seorang artis baharu di dalam industri muzik tanah air.
Kalimah Lebaran juga memperlihatkan Noraniza berduet bersama penyanyi popular era 80-an Razis Ismail dan penyanyi muda, Azmir Arif.
Kemunculan semula Razis Ismail yang popular suatu ketika dulu menerusi lagu Kehilangan dan Mawar Bukan Milikku pasti akan membuatkan peminatnya lebih teruja untuk ‘menikmati’ Kalimah Lebaran ini.
Noraniza berkata, lagu yang menggabungkan tiga generasi penyanyi berlainan era ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dijangka menambahkan lagi kemeriahan anda menyambut lebaran tahun ini.
“Pada majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan penyanyi baharu Ihab Ismail yang mempertaruhkan dua single terbarunya iaitu Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafana sebagai permulaan karier memasuki persada seni tanah air.
“Ihab bukan sahaja berbakat sebagai penyanyi, malah kedua-dua lagu ini juga merupakan hasil ciptaannya manakala Ahmad Fedtri Yahya menulis untuk lirik Pahlawan Zafana,” katanya.
Ketiga-tiga lagu ini akan dipasarkan terus secara digital melalui saluran iTunes Store, manakala pembelian nada dering pemanggil turut tersedia di laman web kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini.
Majlis pelancaran Kalimah Lebaran, Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafana bersempena Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara ini dilancarkan dengan meriahnya oleh Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Al-Haj, yang merupakan penaung Siri Jelajah ini.
Manakala pelancaran bagi kerjasama di antara pihak Luncai Emas Sdn Bhd sebagai pengedar dan NIPVSB telah dibuat oleh Datuk M Nasir selaku Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd dan Jeffri Iman Hoodi, selaku Pengarah Urusan NIPVSB.