Sharnaaz Ahmad sibuk jual serunding



DIRAIKAN. Sharnaaz terharu dengan kesungguhan kelab peminatnya, SAF-ARM menganjurkan majlis berbuka puasa bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, kebanyakan pelakon yang tidak terbabit dengan sebarang penggambaran mengambil kesempatan untuk menjalankan perniagaan sepanjang bulan puasa.

Antaranya, pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Sharnaaz Ahmad turut tidak ketinggalan menambahkan pendapatan sampingan dengan berniaga serunding.

“Sepanjang lima tahun saya terbabit dalam industri lakonan, tahun ini saya pertama kali tidak terbabit dalam sebarang penggambaran sama ada drama bersiri, telemovie atau filem.

“Semua aktiviti penggambaran telah saya selesaikan sebelum bulan puasa yang lalu. Jadi, pada bulan puasa ini saya memang mahu berehat daripada berlakon buat sementara waktu,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa bersama kelab peminatnya di Rumah Amal Kasih Bestari, Subang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Sharnaaz, dengan masanya yang banyak terluang sepanjang bulan Ramadan, dia mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan menjual serunding di dua buah lokasi iaitu di Medan Mara, Kuala Lumpur dan The Strand Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ujarnya, apabila tidak mengambil sebarang tawaran berlakon dia dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap perniagaannya itu dan berasa gembira apabila ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

“Sebenarnya serunding yang saya jual ini bukanlah resipi keluarga, sebaliknya saya beli daripada seorang pengusaha serunding di Kelantan.

“Pertama kali saya cuba rasanya memang sedap dan itu yang memberi keyakinan kepada saya untuk menjualnya.

“Memandangkan pembelian dibuat secara borong, saya terpaksa melakukan kerja-kerja pembungkusan sebelum dijual kepada pelanggan dan itu yang menyebabkan saya agak sibuk,” ujarnya yang menggunakan label Sharnaaz Ahmad Garment untuk serundingnya itu.

Bercerita tentang persiapan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, pelakon tersebut menyatakan dia sekadar membuat persiapan secara ala kadar seperti tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, pada usia yang semakin meningkat sekarang ini, dia berasa kemeriahan sambutan Aidilfitri hanya akan dapat dirasai pada 1 Syawal, berbanding ketika zaman kanak-kanak dahulu.

“Biasanya pada hari raya pertama dan kedua saya akan menghabiskan masa untuk menyambutnya bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara. Selepas itu barulah saya akan pergi beraya bersama rakan-rakan,” ujarnya yang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Pulau Pinang.

Memandangkan dia tidak mengambil sebarang tawaran lakonan sepanjang bulan puasa, Sharnaaz memberitahu, dia mungkin dapat berada di kampung selama seminggu sahaja sebelum kembali menjalani penggambaran sebuah telemovie.

Sementara itu, biarpun sibuk dengan perniagaan yang sedang dijalankannya itu, Sharnaaz masih mampu meluangkan masa untuk hadir pada majlis berbuka puasa anjuran kelab peminatnya, Sharnaaz Ahmad Familia Art Reflect Movement (SAF-ARM).

Ujarnya, dia begitu terharu dengan usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli SAF-ARM yang sudah dianggap seperti ahli keluarganya itu untuk menganjurkan majlis berkenaan bagi mengeratkan lagi silaturahim.

“Apa yang mereka lakukan ini bukan semata-mata kerana duit, tetapi lebih kepada sokongan mereka terhadap diri saya. Malah, saya bersyukur kerana ada beberapa pihak sudi memberikan tajaan agar majlis ini dapat berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Simpati

Dalam pada itu, ketika umat Islam bakal meraikan Aidilfitri, Sharnaaz tidak ketinggalan untuk meluahkan rasa simpatinya terhadap tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu.

Ujarnya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, dia agak terkejut dengan kejadian yang menggemparkan seluruh dunia itu dan turut berasa sedih terhadap semua 298 penumpang serta anak kapal yang terkorban.

“Pada mulanya saya ingat ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu, tetapi sebelum tidur saya sempat melayari internet dan saya lihat sudah banyak berita yang dipaparkan.

“Sudah tentu tragedi yang menimpa negara ini sesuatu yang sangat menyedihkan. Apatah lagi apabila mendapat tahu ada mangsa yang pulang ke Malaysia semata-mata mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia sudah tentu saya meletakkan harapan yang sangat tinggi agar dalang di sebalik kejadian pesawat MH17 yang ditembak itu dapat dicari dan diberi hukuman yang sewajarnya,” tegasnya.




Previous Post Next Post