SEBELUM ini, penulis tampilkan bintang-bintang tempatan yang mendapat perhatian kerana bakat dan kreativiti mereka menerusi laman Youtube.
Kali ini, penulis ingin 'mengetengahkan' bakat besar daripada Amerika Syarikat yang sudah mencipta nama menerusi Youtube sejak 2011 lagi.
Samuel Tsui atau lebih dikenali dengan nama Sam Tsui adalah anak kacukan Cina-Amerika dan dibesarkan di Blue Bell, Pennsylvania. Bapanya berasal dari Hong Kong, manakala ibunya berasal dari Iowa.
Sejak awal kemunculannya, ramai yang mengklasifikasikan suara anak muda yang kini berusia 25 tahun ini seperti gabungan suara Justin Timberlake dan Michael Jackson.
Tidak hanya berbekalkan rupa paras yang kacak, kelebihan Tsui yang pandai menyanyikan lagu original, medley dan menggabungkan lagu membuatkan dia sudah mengumpul lebih 1.4 juta pengikut di Youtube dan video-video yang dimuat naiknya sudah ditonton lebih 113.7 juta.
Sebelum menarik perhatian di Youtube, Tsui terlebih dahulu muncul dalam ABC World News pada Oktober, 2009 dengan menyanyikan lagu I'll Be There nyanyian asal The Jackson 5. Bukan itu sahaja, Tsui turut muncul menerusi program The Bonnie Hunt pada bulan November tahun sama.
Pada program berkenaan, dia telah ditemu bual dan menyanyikan lagu asal Whitney Houston’s “I Wanna Dance with Somebody (Who Loves Me)”. Selain itu, Tsui turut muncul dalam beberapa program lain lagi.
Kemudian pada 2010, Tsui melancarkan album cover pertamanya, The Cover pada 9 Februari dan menyanyikan semula lagu-lagu hit nyanyian Michael Jackson, Journey, Beyoncé, Jason Mraz, dan Lady Gaga serta beberapa artis lain.
Dek kerana kejayaan album tersebut, Tsui bersama penerbitnya, Kurt Schneider telah dijemput ke dua program terkenal iaitu The Oprah Winfrey dan The Ellen DeGeneres.
Tsui kemudiannya 'dilamar' untuk bekerjasama dengan Christina Grimmi menyanyikan lagu Just A Dream pada Disember 2010 yang memperlihatkan lagu tersebut ditonton lebih lapan juta menerusi saluran KurtHugoSchneider di Youtube.
Tidak kejar populariti
Sejak kejayaan itu, Tsui dan Schneider yang juga jiran dan kawan baiknya sejak sekolah, sering bekerjasama dalam menghasilkan karya-karya hebat di Youtube.
Pada 2011, Tsui membuka akaun YouTubenya sendiri, The Sam Tsui yang juga memperlihatkan karya-karya kerjasamanya dengan Schneider terus menjadi perhatian di seluruh dunia.
Di tebak mengenai anggapan sesetengah orang yang melihat mereka yang memilih Youtube sebagai saluran mengetengahkan bakat kerana gilakan populariti semata-mata, Tsui menepis tanggapan itu.
"Bila kami muat naik karya kami di Youtube, kami tidak pernah terfikir untuk menjadi orang terkenal atau pun selebriti. Pada pandangan saya, Youtube bukan saluran di mana hanya video-video lucu sahaja boleh dimuat naik.
"Kami melihat Youtube sebagai salah satu cara kami berkongsi karya dengan mereka yang sukakan muzik dan secara tidak langsung, kami dapat menerima maklum balas secara terus menerus daripada karya yang kami lakukan," katanya yang berminat menjadi pelukis, andai tidak bergelar seorang penyanyi.
Sesi bertemu peminat
Tsui yang baru sahaja melancarkan album original pertamanya pada Mei tahun lalu, Make It Up. Album yang mengandungi 14 buah lagu itu memperlihatkan ke semua lagu di gubah oleh Tsui sendiri.
Sejak itu, Tsui kerap menjelajah ke beberapa negara, termasuk baru-baru ini mengadakan Jelajah Asia bersama Schneider bermula 21 Jun bermula di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Manila, Singapura, Hong Kong, Shanghai, Beijing dan berakhir di Taipei pada 3 Julai lalu.
Berkongsi mengenai keistimewaan albumnya itu, Tsui berkata, album Make It Up adalah sebuah karya yang mempamerkan bakat dan kepuasan sebenar dirinya.
"Lagu “Wherever You Are” menjadi antara lagu yang paling bermakna buat saya kerana lagu tersebut banyak menceritakan mengenai muzik dan peminat saya apabila mereka turut sama mengikuti jelajah yang saya lagu," katanya yang suka berjumpa dengan peminat setiap kali melakukan jelajah.