Yusof Haslam sentiasa bersedia



KEJADIAN perompak menceroboh rumah mewahnya ini merupakan kali pertama selepas 13 tahun Yusof mendiaminya.

INI bukan adegan drama bersiri popular terbitannya, Gerak Khas tetapi benar-benar berlaku. Pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam terpaksa melepaskan tiga das tembakan – satu ke arah dinding rumahnya dan dua lagi ke arah hutan apabila mendapat tahu rumah banglo mewah empat tingkat miliknya di Taman Melawati dipecah masuk oleh perompak.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Kosmo! segera menghubungi Yusof bagi mendapatkan gambaran kejadian secara lebih terperinci. Ikuti temu bual berikut bersama beliau.

Ikuti lanjut temu bual Kosmo! bersama Yusof.






Kosmo!: Boleh Datuk ceritakan kejadian yang berlaku?

YUSOF: Kejadian pecah rumah itu berlaku dalam pukul 2.30 pagi. Ketika itu saya sedang menonton TV di ruang atas rumah. Tiba-tiba dua orang gaji saya yang duduk di bahagian paling bawah rumah menjerit ketakutan. Saya juga dengar pergelutan berlaku. Saya tanya “siapa itu?” tetapi tiada jawapan. Jadi, saya dapat agak rumah saya dimasuki perompak. Saya terus mencapai pistol di dalam bilik dan melepaskan tembakan ke arah dinding tangga rumah. Selepas itu saya dapat tahu perompak-perompak tersebut melarikan diri ke arah hutan dan seterusnya saya menghubungi Balai Polis Taman Melawati.

Bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku?

Saya dapat tahu daripada orang gaji ada tiga orang perompak memakai topeng mengumpil pintu belakang rumah saya. Mereka sempat menggeledah bilik Syafiq (anak) dan isteri (menantu) yang berada di tingkat paling bawah rumah. Nasib baik Syafiq dan isteri tiada pada hari kejadian itu kerana mereka berada di pejabat.

Bagaimanakah sistem keselamatan di rumah anda?

Rumah saya memang terletak di atas bukit dan ia berada di kawasan terpencil. Saya mempunyai pengawal keselamatan dan sistem keselamatan 24 jam. Selama 13 tahun tinggal di sini, kejadian rompakan ini adalah yang pertama kali terjadi. Saya memang sentiasa membiarkan sebanyak 60 peratus lampu rumah terpasang. Kalau gelap, lagi banyak jenayah akan berlaku.

Adakah anda trauma?

Pada mulanya memang terkejut selepas mendengar orang gaji menjerit, namun saya memang sentiasa bersedia dengan kejadian seperti ini (pecah masuk). Sebenarnya, banyak kali saya bermimpi rumah dimasuki perompak dan saya sentiasa berdoa jika ia berlaku biarlah ketika itu saya dalam keadaan berjaga. Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan berlaku. Ketika kejadian isteri saya, Syamsul dan Sarah sedang tidur. Saya pula memang selalu tidur lewat.

Berapakah anggaran kerugian yang ditanggung?

Perompak hanya sempat menggeledah bilik Syafiq. Antara barangan yang hilang seperti cincin kahwin milik isteri Syafiq iaitu Aeisyah Zainal, jam tangan dan cermin mata hitam milik Syafiq. Anggaran dalam RM10,000.

Apakah tindakan anda selepas kejadian yang berlaku?

Saya akan memperketatkan kawalan pintu belakang dan sentiasa membiarkan belakang rumah sentiasa diterangi lampu.
Previous Post Next Post