Amber Chia Mahu berlakon filem Melayu



KESIBUKAN karier seni dan urusan syarikat miliknya tidak membataskan Amber untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak kesayangannya, Ashton.

BIARPUN ramai model baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun aura yang dimiliki oleh model berwajah eksotik, Amber Chia tidak pernah pudar.

Sepanjang 16 tahun menceburi dunia peragaan, model kelahiran Ipoh, Perak itu masih tidak putus menerima tawaran di pentas peragaan. Malah, Amber juga sering dilantik menjadi duta produk termasuk Pensonic dan terbaharu, duta Mipow Malaysia.

Mula mencuri tumpuan Malaysia apabila memenangi pencarian model Guess Watches Timeless Beauty International Model Search 2004 sembilan tahun lalu, sejak itu wajah Amber kerap menghiasi kulit-kulit majalah.

Malah, wanita yang memiliki ketinggian 173 sentimeter itu juga sering dipanggil memperagakan koleksi fesyen tempatan dan juga antarabangsa termasuk menyertai Victoria Beckham New York Fashion Week Show pada tahun 2009.






Ternyata, bakat yang dimiliki model berusia 33 tahun itu bukan sekadar di pentas peragaan, malah Amber juga berbakat dalam bidang lakonan.

Ia terbukti apabila Amber kerap menerima tawaran berlakon filem daripada penerbit-penerbit China dan Taiwan.

Melalui filem-filem lakonannya seperti The 3rd Generation (2005), Possessed (2006) dan Seed of Darkness (2006), nama Amber turut popular di Taiwan dan juga China.

Biarpun namanya berada di puncak, namun Amber memberitahu, dia mengidamkan tawaran berlakon daripada pengarah Melayu.

Amber turut mengakui sedikit kecewa kerana belum ada mana-mana pengarah Melayu yang menawarkannya berlakon sehingga kini.

"Saya tidak pernah menerima tawaran daripada mana-mana pengarah Melayu untuk membintangi filem mereka. Saya harap suatu hari nanti ada pengarah Melayu yang mahu ambil saya berlakon," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancarannya sebagai duta Mipow Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.




Lemah

Mengakui masih lemah bertutur dalam bahasa Melayu, bagaimanapun kata Amber, dia akan cuba memperbaiki dan memahirkan diri bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.

"Diakui 10 tahun lalu, bahasa Melayu saya sangat lemah. Namun, kini saya sudah semakin mahir bertutur dalam bahasa itu. Saya tidak ambil sebarang kelas. Cuma kerap berinteraksi dengan kawan-kawan dalam bahasa Melayu," ujarnya yang bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul My Mr. Right.

Bergandingan dengan pelakon-pelakon China dan Taiwan dalam filem tersebut, jelas Amber, ia merupakan sebuah produksi terbitan Taiwan.

"Saya bakal muncul dalam filem terbaharu pada penghujung tahun ini berjudul My Mr. Right. Filem itu akan ditayangkan di China dan Taiwan sebelum ia ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia.

"Walaupun penggambaran filem itu dilakukan di Pulau Pinang, namun produksinya adalah dari Taiwan. Malah, hampir semua pelakon filem tersebut dari Taiwan dan China," ujar Amber mengenai filem ketujuh lakonannya itu.

Selain sibuk mempromosikan filem terbaharunya itu, Amber juga sibuk menguruskan Pertandingan Pencarian Supermodel Malaysia anjuran syarikat miliknya, Amber Chia Academy Sdn. Bhd.

Jelasnya, pertandingan tersebut memasuki tahun keempat dan dia berharap dapat mencari pelapis model-model yang berkaliber melalui pertandingan tersebut.

Biarpun sibuk dengan bisnes, promosi filem dan juga tanggungjawabnya sebagai duta, Amber mengakui, dia masih mengutamakan keluarganya.

Anak perempuan

Disebabkan itu, sejak dikurniakan anak lelaki, Ashton Wong, empat tahun lalu, Amber semakin mengurangkan aktivitinya di pentas peragaan.

Jika sebelum berkahwin dan memiliki anak, Amber tidak kisah menetap selama sembilan bulan di New York demi menjayakan aktiviti peragaan, namun kini keutamaannya adalah keluarga dan juga bisnesnya.

Malah, Amber juga berhasrat untuk menambah cahaya mata dalam masa terdekat ini.

"Sejak ada keluarga dan bisnes, saya tidak boleh keluar negara dalam tempoh masa yang lama. Jika aktiviti peragaan tersebut sekejap, saya akan ambil.

"Bulan September ini, umur anak saya juga sudah empat tahun. Jadi, saya rasa sudah sesuai untuk saya mengandung anak kedua. Saya mahu anak perempuan," katanya penuh harapan.

Mengakui tidak cukup tidur demi menguruskan bisnes dan keluarga, luah Amber, dia seronok melakukan semua perkara itu.

Paling penting, katanya, dia harus menjaga kesihatannya agar mempunyai tenaga untuk menguruskan bisnes dan keluarganya.

"Sebelum bahagikan masa, paling penting jaga kesihatan. Apabila sihat, saya akan mempunyai tenaga untuk bekerja.

"Saya mengakui sebelum berkahwin, bidang peragaan paling penting tetapi sekarang, keluarga dan bisnes paling utama bagi saya.

"Saya sangat beruntung kerana suami, Adrian Wong sangat memahami kerjaya saya. Dia selalu memberi sokongan kepada saya.

"Ada orang tanya kenapa walaupun saya sibuk tetapi hubungan kekal romantik bersama suami. Bagi saya, walaupun saya sibuk tetapi apabila pulang ke rumah saya akan meluangkan sepenuh masa bersama suami dan anak," ungkapnya lagi.
Previous Post Next Post